Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan migran dan pemalsuan dokumen perjalanan Malaysia dengan tertangkapnya 11 orang baru-baru ini.

Sindiket ini beroperasi sejak pertengahan tahun 2018 dan mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Eropah dan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, dalam operasi yang dilakukan pada 30 April lalu, polis telah menahan dua wanita masing-masing seorang warga Sri Lanka dan Malaysia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Ketika itu mereka cuba berlepas ke Eropah dengan menggunakan pasport Malaysia yang telah dipalsukan.

Selain itu, empat lagi suspek – tiga warga Sri Lanka dan 1 Jerman ditahan di sekitar ibu negara kerana terlibat dalam penyeludupan migran.

Dalam satu tindakan susulan pada 2 Mei lalu, polis berjaya menahan lima lagi suspek termasuk dua warga Malaysia dan tiga Sri Lanka di Selayang.

Daripada 11 orang yang ditahan, lima orang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 dan Akta AntiPemerdagangan Orang Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Mereka terdiri tiga warga tempatan dan masing-masing satu rakyat Sri Lanka dan Jerman.

Manakala yang lain iaitu  enam migran Sri Lanka dituduh di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba menyeludup keluar ke negara Eropah melalui KLIA. – MalaysiaGazette