Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor ketika hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Lawatan mengejut Datuk Seri Abdul Hamid Bador ke beberapa balai polis pada waktu malam sepertimana viral dalam media sosial baru baru ini merupakan sebahagian daripada aktviti turun padang Ketua Polis Negara itu.

Beliau berkata, kunjungan ke balai polis di beberapa daerah itu sebenarnya tidak dirancang dan ia untuk membolehkan beliau berkomunikasi dengan anggota keselamatan serta melihat sendiri keperluan kebajikan mereka.

“Saya mengambil peluang dan ruang yang ada serta merta untuk turun padang ke lapangan sebanyak mungkin.

“Ia tidak semestinya sekadar balai polis sahaja. Itu membolehkan saya melihat sendiri keadaan di lapangan dan boleh berkomunikasi dengan pegawai-pegawai sambil berpeluang bertanyakan kebajikan mereka, itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman bersama Timbalannya, Datuk Mazlan Mansor.

Terdahulu Abdul Hamid hadir ke Majlis Serah Terima Tugas secara rasmi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim pagi ini.

Ditanya sama ada sebarang maklumat atau aduan diterima sepanjang lawatan mengejut itu, katanya, beliau menerima permintaan mengenai keadaan balai polis yang usang dan memerlukan penambahbaikan segera.

“Saya perlukan input lagi dalam soal kebajikan polis supaya dapat memujuk kerajaan bahawa PDRM memerlukan bajet tambahan untuk menaiktaraf balai balai polis yang sudah menjangkau usia ini,” katanya. – MalaysiaGazette