Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan memberi tumpuan  mempertingkat aktiviti ekonomi domestik dengan menggalakkan sektor swasta untuk terus memacu pelaburan.

Ini kerana, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang lebih perlahan bagi tahun ini dijangka mempengaruhi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Unjuran yang lebih rendah ini mengambil kira tindakan timbal balas dasar perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta risiko kenaikan harga minyak dunia berikutan jangkaan gangguan bekalan minyak mentah.

Lantaran itu, Kerajaan telah mengambil langkah mempercepatkan aktiviti pelaburan melalui pelaksanaan semula projek-projek yang telah ditangguhkan sebelum ini, seperti Bandar Malaysia dan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

“Penyertaan Malaysia yang proaktif dalam “Belt and Road Initiative” (BRI) dijangka memberi kesan limpahan yang besar kepada ekonomi melalui peningkatan pelaburan langsung asing (FDI_ dan kesalinghubungandengan ekonomi dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang mengulas prestasi ekonomi negara pada suku pertama tahun ini.

Malaysia merekodkan pertumbuhan 4.5 peratus bagi tempoh tersebut.

Azmin berkata, Malaysia berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi bagi suku pertama 2019 pada kadar 4.5 peratus meskipun menghadapi faktor-faktor persekitaran luaran yang mencabar.

Penyederhanaan ini didukung oleh asas ekonomi negara yang kukuh dan sumber pertumbuhan yang pelbagai serta tidak bergantung kepada mana-mana sektor atau pasaran.

Tambahnya, Malaysia berpotensi untuk menjadi gerbang kepada pasaran serantau yang berjumlah lebih daripada 650 juta penduduk yang kuasa beli mereka semakin meningkat.

Bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, di samping memastikan kesejahteraan rakyat, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion perbelanjaan pembangunan pada tahun ini.

Ia bagi pelaksanaan lebih 3,700 projek pembangunan, termasuk pembinaan sekolah, hospital dan jalan raya serta kemudahan infrastruktur. – MalaysiaGazette