SPRM buka bilik gerakan sepanjang PRK DUN Semenyih
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tempoh tahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta disambung empat hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membuat keputusan demikian selepas Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan tambahan reman terhadap individu yang bergelar Datuk itu.

Pada masa yang sama mahkamah melepaskan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat itu dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mereka telah ditahan SPRM 13 Mei lalu berkaitan siasatan rasuah ratusan ribu ringgit dari beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kenderaan perisai jenis AV8 dan Adnan pada tahun 2014 hingga 2017.

Menurut sumber, lelaki bergelar Datuk berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam manakala wanita berusia 53 tahun itu pula ditahan kira-kira pukul 11.50 malam Isnin lepas sewaktu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, menurut sumber, SPRM juga telah merampas beberapa beg tangan mewah serta mata wang asing di rumah CEO terbabit. –MalaysiaGazette