Norman Uda, 28 bersama isterinya, Masitah Remari, 28, beramah mesra dengan dua anak mereka selepas selesai ditemubual mengenai keluarga mereka yang muallaf dikatakan dihalau keluar dari rumah sewa dan kini menumpang tidur di medan selera Park & Ride, LRT Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Keluarga yang terpaksa tinggal di dalam stor gerai di Sungai Besi sejak awal Ramadan lalu kecewa dengan  tohmahan selepas kisah mereka empat beranak tular di media sosial.

Norman Uda, 28, berkata, dia dan isteri, Masitah Remari, 28 bersama dua anak mereka difitnah dengan dakwaan mengatakan tidak pernah pulang ke kampung di Tapah, Perak sejak enam tahun lalu.

Padahal, kata mualaf Orang Asli itu, dia baru pulang bertemu kedua-dua ibu bapanya sebelum Ramadan sambil mencari buluh  untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

“Masa bertemu ibu bapa di kampung, saya memang tidak beritahu sedang berdepan masalah hidup di sini.

“Malah hubungan kami tetap mesra walaupun saya telah memeluk Islam sejak tahun 2013,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kisah Norman, isteri dan anak-anak dihalau keluar oleh pemilik rumah pada 1 Mei lalu disiarkan di Malaysia Gazette pada 9 Mei lalu.

MGF09052019_INTERVIEW KELUARGA MUALLAF YANG DIHALAU RUMAH06
Norman Uda, 28 bersama isterinya, Masitah Remari, 28, melakukan rutin harian mereka selepas selesai ditemubual mengenai keluarga mereka yang muallaf dikatakan dihalau keluar dari rumah sewa dan kini menumpang tidur di medan selera Park & Ride, LRT Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 MEI 2019

Selepas kisah itu tular, keluarga itu mula mendapat bantuan daripada orang ramai termasuk yang datang melawat mereka.

Namun terdapat individu tertentu yang menyiarkan semula kisah Norman di laman sosial Facebook dengan mengeluarkan fakta yang tidak tepat.

Antaranya dia dan keluarganya sudah enam tahun tidak pulang ke kampung di Perak kerana terdapat ramai ahli keluarganya  beragama Kristian.

Jelas Norman yang juga bekas kelindan lori itu, dia menerima panggilan telefon bertalu-talu daripada sanak-saudara dan rakan-rakan yang mempertikaikan dakwan di media sosial.

“Ada yang datang melawat dan saya tidak sangka mereka menyiarkan kisah saya dengan fakta tidak tepat di media sosial yang memberi kesan negatif seolah-olah saya tidak lagi mesra dengan ahli keluarga beragama Kristian.

“Bagaimanapun saya bersyukur ramai lagi yang ikhlas dan sudi memberi pelbagai bantuan. Saya akan bekerja kembali selepas selesai urusan mendapatkan rumah sewa.

“Ketika ini, saya tidak sanggup meninggalkan isteri yang sedang hamil bersama dua anak di dalam stor gerai ini kerana ia tidak memiliki pintu untuk keselamatan mereka jika saya keluar bekerja,” katanya.

Norman turut memberitahu, dia sudah membuat permohonan untuk mendapat di rumah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini dan dimaklumkan proses tersebut akan mengambil masa sebulan untuk mendapat keputusan.

“Pada masa sama, syarikat RapidKL ada telefon bertanya sama sama ada saya memiliki lesen bas kerana mereka hendak menawarkan jawatan pemandu bas.

“Namun saya tidak memiliki lesen tersebut dan mereka berjanji akan menghubungi semula.

“Saya tidak memilih kerja dan jadi pengawal keselamatan pun tidak apa dan janji ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta ada surat tawaran kerana saya sudah serik serik ditipu tidak dibayar gaji gara-gara tidak surat tawaran kerja,” katanya.

Empat beranak itu dihalau keluar oleh pemilik rumah pada 1 Mei lalu akibat gagal melunaskan bayaran sewa bilik selama tiga bulan berjumlah RM900.

Norman tidak menyangka terpaksa berdepan dugaan menyambut Ramadan dalam kesempitan hidup selepas gajinya sebagai kelindan lori tidak dibayar sejak tiga bulan lalu berjumlah RM6,000.

“Hampir setahun saya bekerja sebagai kelindan lori dan selama ini gaji saya dibayar setiap 1 haribulan setiap bulan.

“Namun sejak bulan Februari lalu, gaji saya tidak bayar walaupun saya pergi bertanya ke rumah bekas majikan saya selain sering menelefon namun semuanya tidak berhasil,” katanya sebelum ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/09/sambut-ramadan-dalam-stor-gerai/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast