Kuda padi yang mati selepas dilanggar. foto Bernama

KUANTAN – Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kuda padi yang dipercayai terlepas dari kandang di Kilometer 89 Jalan Lipis-Merapoh di Lipis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata, kejadian pada 9.40 malam itu menyebabkan Muhammad Shukri Che Aris, 22, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125zr maut di tempat kejadian kerana parah pada kepala dan badan.

“Mangsa yang dalam perjalanan dari Lipis ke Merapoh dipercayai tidak menyedari kehadiran kuda itu kerana keadaan jalan yang gelap,” katanya kepada pemberita menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Azli berkata, kemalangan yang berlaku berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Merapoh itu juga menyebabkan kuda padi tersebut mati di lokasi kejadian.

Pemilik haiwan itu telah diarahkan untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan, katanya.

Jenazah mangsa yang berasal dari Kampung Persit Merapoh di Gua Musang, Kelantan dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette