Mohd Redzuan Md Yusof

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof mendedahkan idea untuk memperkenalkan kereta terbang timbul hasil daripada lawatan di Jepun.

Beliau memberitahu, ketika itu perbualan dengan salah seorang menteri negara itu adalah berkaitan kandungan Ekspo Tahunan 2025 di Osaka.

Jelas beliau, menteri berkenaan memaklum antara kandungan ekspo itu adalah melibatkan kereta, internet dan  kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI).

“Beliau ada sebut akan komersialkan kereta terbang yang dipanggil kenderaan terbang di Osaka itu nanti.

“Bila saya balik ke Malaysia, ada satu topik kertas cadangan agar Cyberjaya dibangunkan semula bagi segala inovasi dan inversi.

“Dalam mesyuarat Majlis Tetap Pembangunan Negara, saya beritahu jadikan Cyberjaya sebagai test bed kereta terbang. Saya beritahu Perdana Menteri saya baru balik Jepun dan mereka sudah ke hadapan untuk perkenalkan kenderaan terbang.

“Tun Dr Mahathir berseloroh awak terbanglah dan saya tidak kisah kerana bila terbang nanti ada ketinggian tertentu dan jatuh tidak sakit. Dan Tun kata, awak buatlah,” katanya ketika ditemubual secara khas bersama MalaysiaGazette di kementerian di sini baru-baru ini.

Redzuan memberitahu, beliau adalah ahli Majlis Tetap Pembangunan Negara yang sering membincangkan pembangunan negara.

Jelas beliau, ahli majlis itu turut melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambahnya, setiap mesyuarat ahli akan membincangkan segala pembentukan pemikiran dengan memanggil setiap menteri untuk memberi cadangan tertentu.

“Saya sebenarnya hendak membangun budaya dari kecil. Kalau sebut kereta terbang ia mencuit pemikiran bukan sahaja orang yang mengkritik yang lebih konstruktif dan yang saya nampak anak-anak muda

“Inilah disebut budaya menerima pemikiran yang luar dan gila, fikir luar otak dan merangsang otak. Sekarang di sekolah cikgu pun suruh reka kereta terbang. Dari situ saya gembira perkara ini walaupun ahli politik dan orang yang tidak tahu langsung turut menceritakan pasal kereta terbang

“Jadi idea kereta terbang boleh rangsang pemikiran dan ekosistem, dan sekiranya jadi realiti bolehkah kita bersedia dengan persekitaran kereta terbang dan apakah undang-undangnya.

“Sebagai contoh, di Negara-Negara Teluk pada hujung tahun ini akan melancarkan teksi terbang dari hotel bertaraf tinggi ke lapangan terbang.

“Tapi mereka sudah fikir idea itu sejak tiga tahun lalu untuk rangsang pentadbir dan pegawai undang-undang bagi mewujudkan ekosistem untuk tiga tahun akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette