PARIT BUNTAR – Seramai 448 orang anak-anak yatim dan miskin sekitar Parlimen Parit Buntar, diraikan dalam satu majlis Iftar Perdana Inspirasi YaPEIM Peringkat Negeri Perak, berlangsung di Dewan Kerian Permai di sini hari ini.

Majlis imarah Ramadan yang dianjur sepenuhnya oleh YaPEIM adalah antara inisiatif diambil bagi meraikan warga serba memerlukan, seterusnya menghadirkan sinar gembira untuk mereka yang kurang bernasib baik.

Selain disantuni dengan majlis jamuan iftar yang menghidangkan pelbagai jenis menu makanan, mereka turut berpeluang beramah mesra dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang turut menyempurnakan majlis yang sama.

Pengarah Kanan Pengurusan Dana Infaq dan Pembangunan Sosioekonomi YaPEIM, Mohd. Zamri Zakaria berkata, inisiatif yang diambil adalah bukti komitmen YaPEIM dalam membantu golongan yang memerlukan.

Selain itu kata beliau, ia juga menjadi ruang baik bagi YaPEIM mendekati serta menyantuni warga masyarakat seterusnya mengimarah Ramadan sebagai bulan yang mulia penuh keberkatan.

“Usaha YaPEIM membantu menyantuni warga masyarakat melalui pelbagai program tidak pula terhenti malah sering dipergiatkan dari semasa ke semasa demi membela kebajikan golongan yang memerlukan.

“YaPEIM sangat fokus dengan program bantuan dan sumbangannya untuk rakyat di akar umbi, di mana melalui Program Inspirasi Ramadan 2019 sejumlah RM2.5 juta diperuntuk kepada 14,000 penerima seluruh negara,” katanya semasa berucap pada majlis yang sama.

Sementara itu, kesemua 448 anak-anak yatim dan miskin itu turut menerima sumbangan tunai RM100 setiap seorang atau sejumlah RM44, 800 keseluruhan diperuntukan YaPEIM kepada warga memerlukan ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast