Nicole dan Suhaimi (tengah) bersama peserta Wanita Sejahtera selepas Program Pemerdayaan Wanita Lenggeng di Mahkota Hills Club House.
Nicole dan Suhaimi (tengah) bersama peserta Wanita Sejahtera selepas Program Pemerdayaan Wanita Lenggeng di Mahkota Hills Club House.

LENGGENG – Usaha meletakkan wanita sebagai pemimpin dalam institusi kekeluargaan menjadi keutamaan kerajaan Negeri Sembilan, sekali gus melonjak kaum hawa memperkukuhkan kedudukan mereka di mata masyarakat, kata Exco Hal Ehwal Wanita, Kebajikan dan Keluarga, Nicole Tan Lee Koon.

Menurut beliau, wanita sepatutnya menjadi tonggak kekuatan kepada sesebuah keluarga seiring dengan kehendak semasa yang menginginkan kaum berkenaan lebih berdaya saing memacu ekonomi mereka.

“Saya lebih berbangga jika wanita mempunyai kekuatan jiwa dalam memacu ekonomi keluarga, sekali gus meletakkan diri mereka ke tahap terbaik. Inilah masanya wanita menonjol diri dalam mensejahterakan ekonomi keluarga.

“Kita tidak boleh menidakkan keupayaan wanita. Banyak pengorbanan yang mereka lakukan demi menjaga kehamornian keluarga dan pasangan masing-masing.

“Saya berbesar hati jika mereka sentiasa pro aktif bersama pasangan masing-masing,” katanya berucap pada majlis berbuka puasa dan perasmian penutup Program Pemerdayaan Wanita Lenggeng anjuran Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin (Bisdec) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan dan Power House Gemilang (PH Gem) di Mahkota Hills Club House, di sini, semalam.

Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin (Bisdec) penganjur program.
Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin (Bisdec) penganjur program.

Program yang julung kali diadakan menerusi cabang pertubuhan itu – Biro Wanita Bisdec (BWB) – mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 40 peserta terbabit dalam kursus yang dijayakan biro berkenaan.

Antara kursus selama tiga hari yang dijayakan BWB ialah Seni Kraftangan, Urutan Tradisional, Seni Mengait, Kek dan Pastri serta Kecantikan. Ia dikendalikan oleh pakar dari kalangan pelatih tempatan.

Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, beliau teruja dengan kejayaan program berkenaan dan berbangga kerana Bisdec mampu melaksanakan latihan itu dengan jayanya biarpun julung kali diadakan.

“Saya ucap tahniah kepada Bisdec dan BWB kerana kejayaan mereka mengumpul peserta sekitar Lenggeng. Saya harapkan peserta tidak sia-siakan pengalaman bermakna ini untuk memangkin ekonomi masing-masing.

“Saya amat berharap kursus sebegini tidak berakhir di sini dan diteruskan dari semasa ke semasa demi kelangsungan dan kesejahteraan wanita,” katanya.

Sementara itu, ADUN Lenggeng, Suhaimi Kassim berkata, beliau bangga dengan kejayaan program berkenaaan dan berharap ia diteruskan supaya pengalaman serta kekuatan wanita tidak terhenti di situ.

“Saya yakin dengan keupayaan wanita kerana mereka dijadikan untuk membantu dan menegakkan institusi keluarga. Merekalah juga kekuatan serta permata yang perlu digilang untuk kemajuan negara,” katanya ketika berucap sebelum majlis iftar yang dihadiri hampir 200 tetamu.

Beliau yang diiringi isterinya, Mahani Shamsuddin yang juga Penasihat BWB menyeru supaya Bisdec dan BWB terus berusaha mengorak langkah dalam membantu wanita di kawasan berkenaan terus maju dan terbang tinggi.

“Sudah sampai wanita Lenggeng keluar dari kepompong lampau dan teruskan agenda masing-masing untuk memajukan keluarga mereka ke tahap terbaik dan disegani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast