Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat keranda Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di persada Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2019.

PEKAN – Keperibadian dan kasih seorang anakanda yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menyentuh hati semua yang berada di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 10.40 pagi dengan diiringi anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, meruntun hati semua yang berada di Balairung Seri apabila baginda dilihat sebak dan kerap mengesat air mata.

Suasana bertambah sebak apabila baginda memeluk kekanda-kekanda baginda di hadapan jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Sultan Abu Bakar yang ditempatkan di ruangan tengah Balairung Seri itu.

MGF23052019_YDP JENAZAH SULTAN AHMAD SHAH03
Reaksi sugul Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah ketika melihat keranda Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di persada Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2019.

Al-Sultan Abdullah seterusnya berkenan menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman, dan sekali lagi dilihat mengesat air mata sebaik sahaja solat selesai.

Baginda seterusnya memeluk dan dilihat menenangkan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sebelum itu memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah untuk memberi penghormatan terahir kepada almarhum.

MGF23052019_YDP JENAZAH SULTAN AHMAD SHAH20
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah mengaminkan doa selepas selesai melakukan solat jenazah bagi Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di persada Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2019.

Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam, dan Istiadat Pemakaman Diraja dijadualkan selepas Zohor hari ini.

Al-Sultan Abdullah yang difahamkan berada di luar negara semalam, bergegas berangkat pulang ke sini bagi menziarah dan menghadiri istiadat tersebut.

MGF23052019_YDP JENAZAH SULTAN AHMAD SHAH14
Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah ketika ditenangkan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selesai menunaikan solat jenazah bagi Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di persada Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2019.

Baginda turut berkenan mencemar duli bertemu dengan orang kenamaan, rakyat dan pelajar tahfiz yang berada di Balairung Seri, yang merupakan peribadi baginda untuk menyantuni mereka pada setiap acara di istana.

Sepanjang bertemu rakyat, Al-Sultan Abdullah yang berkabung dengan pakaian serba putih juga beberapa kali dilihat mengeluarkan sapu tangan untuk mengesat air matanya.

Baginda seterusnya berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Ali yang tiba pada 11.05 pagi bagi memberi penghormatan terakhir dan antara pembesar negara yang hadir ialah Menteri Kemunikasi dan Multimedia Gobind Sigh Deo, Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

MGF23052019_YDP JENAZAH SULTAN AHMAD SHAH24
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama dengan Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah ketika hadir bagi memberikan penghormatan terakhir terhdap Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di persada Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2019.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Setakat pukul 12.05 tengah hari, Istana Abu Bakar terus menerima kunjungan tetamu kenamaan yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada almarhum.

MGF23052019_YDP JENAZAH SULTAN AHMAD SHAH29
Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah ketika hadir bagi memberikan penghormatan terakhir terhadap Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di persada Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2019.

Jenazah almarhum dijadualkan akan dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah di sini dengan menaiki Pedati Diraja yang akan ditarik anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia pada 1 tengah hari untuk disolatkan dan dimakamkan di Makam Diraja di sini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast