Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto AFFAN FAUZI, 23 MEI 2019
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto AFFAN FAUZI, 23 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) khasnya DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) saling bertelagah dalam isu membabitkan kemasukan ke program matrikulasi dan penggunaan bahasa Mandarin sehingga ada saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk meletak jawatan.

Malah yang paling lantang adalah suara DAP dengan pemimpin utamanya mengkritik Maszlee sehingga ada menggelarnya ‘bodoh’ selain spekulasi timbalan beliau, Teo Nie Ching akan menggantikannya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang kemudian tampil menafikan wujudnya usaha menyingkirkan Maszlee walaupun tidak menyatakan pendirian berhubung kenyataan-kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin partinya.

Bagaimanapun, bagi Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula beliau lebih gemar menggunakan peluang berbicara isu tersebut secara tertutup ketika mesyuarat jemaah Menteri daripada melakukannya secara terbuka.

Saifuddin berkata demikian ketika diasak wartawan tentang pendirian beliau sama ada bersetuju dengan PPBM atau DAP dalam isu matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan.

“Saya telah beri kesemua pandangan saya melalui platform mesyuarat Jemaah Menteri. Saya fikir elok pendirian saya kekal sebegitu, saya telah berikan pandangan setiap kali ianya dibincangkan.

“Saya telah sampaikan pandangan secara tertib serta objektif dengan berdasarkan kepentingan semua pihak dalam PH.

“Perkara yang saya sampaikan dalam jemaah menteri kekal di situ sahaja,” katanya.

Maszlee sebelum ini dikritik hebat oleh pemimpin DAP termasuk Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP, Datuk Teng Chang Khim dan Dr. P. Ramasamy berikutan kenyataan beliau yang mempertahankan kuota matrikulasi serta mempertikaikan tindakan majikan menetapkan syarat fasih bahasa Mandarin di negara ini.

Chang Kim yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan Maszlee sebagai ‘bodoh’ sementara Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mendakwa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tiada bezanya dengan pemimpin UMNO. – MalaysiaGazette

Kuota matrikulasi: Kritikan membina diperlukan, bukan ‘tembak menembak’