Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar (dua kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr. Nungsari Ahmad Radhi (dua kanan), Ketua Pegawai Operasi MAVCOM, Azmir Zain (kiri) dan Pengarah Hal Ehwal Pengguna MAVCOM, Pushpalatha Subramaniam pada Majlis Perasmian Aplikasi Mudah Alih FlySmart di Kl Sentral, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memperkenalkan pindaan terbaharu Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

Kod MACPC yang akan berkuatkuasa 1 Jun ini mengandungi takrif serta tatacara berkaitan hak pengguna penerbangan dan proses untuk membuat aduan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar ketika mengumumkannya hari ini berkata, kod itu juga menggariskan penalti kewangan yang boleh dikenakan jika mana-mana bahagian dalam MACPC tidak dipatuhi.

Kata beliau, sejak pelaksanaan MACPC pada 2016, MAVCOM telah memperoleh pelbagai maklum balas daripada pengguna penerbangan, pihak syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.

“Hasil daripada maklum balas itu, pihak MAVCOM telah memperbaiki kod tersebut dan beberapa pindaan telah dibuat untuk bagi melindungi hak pengguna industri penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi mudah ali FlySmart di KL Sentral di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr. Nungsari Ahmad dan Ketua Pegawai Operasinya, Azmir Zain.

Menurut Kamaruddin, dua aplikasi mudah alih FlySmart dan kod MACPC itu akan memberi lebih manfaat kepada pengguna penerbangan.

Kata beliau, dalam tempoh enam bulan dari Jun hingga Disember lalu, MAVCOM menerima sebanyak 821 aduan, iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding enam bulan terakhir tahun sebelum ini.

“Ini menunjukkan pengguna penerbangan semakin sedar hak mereka ketika menggunakan perkhidmatan penerbangan dan memperkasakan hak itu dengan membuat aduan.

“Namun, saya dimaklumkan 99.6 peratus daripada aduan itu telah diselesaikan, walaupun saya tidak mendapat secara terperinci bentuk penyelesaian yang dilakukan oleh MAVCOM,” katanya.

Kata Kamaruddin lagi, MAVCOM juga telah memperkenalkan sebuah Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (Lapangan Terbang QoS) bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan di lapangan terbang pada 1 September lalu di KLIA dan 1 Oktober di klia2.

“Rangka kerja QoS Lapangan Terbang ini bertujuan menetapkan standard bagi tahap perkhidmatan yang perlu diberikan oleh pengendali lapangan terbang kepada semua pengguna lapangan terbang, sama ada pengguna penerbangan atau syarikat penerbangan,” katanya. – MalaysiaGazette