Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin beramah mesra dengan seorang peserta cilik pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan dan Ops Raya 2019 di IOI City Mall, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 25 MEI 2019.

PUTRAJAYA – Sebanyak 15,000 baju kalis api disediakan untuk digunakan oleh anggota bomba di seluruh negara pada pertengahan Jun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin berkata, sebelum ini sebanyak 6,000 helai baju kalis api bomba yang dibeli dengan nilai RM13.5 juta untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki berlaku penyelewengan dan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan.

Katanya, kes yang disiasat pada tahun 2016 oleh SPRM telah diperoleh hasil keputusan tersebut.

“Kita mengambil dua atau tiga helai baju kalis api yang dikatakan tidak berkualiti itu dan menghantar ke United Kingdom (UK) untuk menjalani pemeriksaan dan ujian eksperimen rapi mengenai kualiti ketahanannya dan seorang pegawai bomba kami juga dihantar bersama.

“Hasil keputusan di UK telah diperoleh dan menunjukkan dua baju kalis api itu lulus ujian ketahanan dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan peringkat antarabangsa.

“Maka dengan keputusan ini, kita boleh mengedarkan kesemua 6,000 baju kalis api sedia ada yang ditahan untuk siasatan SPRM sebelum ini untuk kegunaan anggota bomba di lapangan seluruh negara,” katanya.

Beliau terdahulu bersama Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid melancarkan Kempen Keselamatan dan Ops Raya 2019 di  IOI City Mall di sini dan seterusnya flag off jentera-jentera bomba sebagai simbolik permulaan kempen menjelang sambutan Aidilfitri 5 Jun ini.

Tambah Zuraida, pembelian 9,000 lagi baju kalis api bomba yang ditenderkan sebelum ini sudah selesai dan diperakui jawatankusa teknikal dan kelulusan sementara menunggu masa sesuai untuk diedarkan bersama 6,000 helai sedia ada.

Katanya, baju kalis api itu akan diedarkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti ke balai angota bomba seluruh negara.

“Sekarang (edarkan) tak mungkin.. mungkin selepas raya untuk anggota bomba di balai seluruh negara.

“Ini termasuklah dalam tender 9,000 helai baju kalis api secara keseluruhannya berjumlah 15,000 untuk kegunaan anggota kita di seluruh negara sepenuhnya tanpa ada kekurangan,” ujarnya lagi.

“9,000 baju kalis api yang ditenderkan sudah ada keputusannya dan cuma tunggu habis sambutan raya mungkin 15 Jun ini kita akan mulakan pengedarannya bersama 6,000 helai yang sedia ada secara serentak,” tegasnya.

Sebelum ini 6,000 helai baju kalis api itu telah disiasat SPRM disyaki berlaku penyelewengan dan hasil siasatan pihak berkuasa itu mendedahkan ujian Jabatan Kimia mendapati contoh baju kalis api yang dibekalkan kontraktor kepada itu mengesahkan ia tidak selamat digunakan kerana tidak mengikut standard ditetapkan JBPM.

Kesemua 6,000 baju kalis api itu dirampas di Balai Bomba Salak Tinggi yang dibeli JBPM bernilai RM13.5 juta kerana tidak mematuhi prosedur ditetapkan selain didakwa memalsukan sijil perakuan pakaian keselamatan itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast