Enjin carian internet, Google memberi penghormatan apabila meraikan ulang tahun kelahiran penyanyi legenda negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad hari ini dengan doodle istimewa di muka depan cariannya.

Bertemakan neon, doodle yang cukup istimewa itu didapati di enjin carian Malaysia sahaja dan dicipta untuk menghargai sumbangan serta bakat seni Sudirman.

Dalam satu kenyataan, Google berkata, muzik yang dibawa penyanyi legenda Asia itu telah meninggalkan impak yang sangat besar bukan sahaja kepada rakyat Malaysia malah melangkaui sempadan Asia.

“Muzik Sudirman telah memberi kesan yang cukup besar kepada industri seni tanah air dan sehingga sekarang, banyak lagu-lagunya seperti Tanggal 31 Ogos dan Balik Kampung.

“Lagu-lagunya masih kedengaran tatkala kita menyambut sebarang perayaan seperti hari kemerdekaan dan Aidilfitri,” kata kenyataan itu.

Sudirman lahir hari ini pada tahun 1954 dan meninggal dunia pada 22 Februari di usianya 37 tahun. – MalaysiaGazette