Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Services, Mohd Khairil Abdullah (kiri) bergambar kenangan pada Majlis Perasmian Program E-Donations di Menara Axiata, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memuji usaha syarikat korporat mewujudkan pelbagai dana untuk mendapatkan sumbangan orang ramai termasuk secara atas talian.

Bagaimanapun, katanya, mereka mesti memantau dengan ketat sumbangan yang diterima agar benar-benar dimanfaatkan kepada golongan memerlukan.

“Yang penting mesti ada pemantauan ketat dan ada juga mekanisme yang dapat memastikan dana dikumpulkan itu diberikan kepada mereka memerlukan.

“Kita semua mempunyai peranan untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti dan negara,” katanya berucap pada majlis perasmian program e-Donation di Bangunan Axiata, KL Sentral hari ini.

Turut hadir, Presiden dan CEO Kumpulan Axiata Berhad, Tan Sri Jamaluddin Ibrahim dan Ketua Korporat Kumpulan, Asri Hassan.

Wan Azizah turut mengucapkan tahniah kepada Boost atas usaha memperkenalkan aplikasi e-sumbangan bagi pihak Axiata dan berharap inisiatif itu beroleh kejayaan membanggakan.

Katanya, usaha perlu diperluaskan menerusi aplikasi itu supaya semua pihak boleh menderma menerusi e-sumbangan.

“Saya dimaklumkan pada masa ini hanya individu boleh menderma melalui aplikasi Boost. Saya harap aplikasinya akan diperluaskan untuk membolehkan entiti korporat dan perusahaan besar, kecil dan sederhana turut menyumbang melalui e-sumbangan ini,” katanya.

Beliau berkata, sikap pemurah dan penyayang rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu dalam sebarang bentuk krisis amat dipuji.

“Saya telah menyaksikan sendiri bagaimana pemurahnya rakyat kita apabila jiran, rakan dan golongan ditimpa musibah.

“Ini amat jelas dengan sokongan dan kemurahan hati rakyat yang menderma untuk Tabung Harapan Malaysia yang kini mencecah RM202,716,775.10.

“Wang ini untuk membantu hutang negara yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Beliau turut memberi contoh kemurahan hati rakyat Malaysia ketika ada negeri dilanda banjir, mereka dengan pantas menghulurkan bantuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast