Lima ahli parlimen UK parti Konservatif angkat diri sebagai calon PM UK selepas pengunduran Theresa May 7 Jun ini.

LONDON – Perlumbaan untuk menjadi Perdana Menteri United Kingdom (UK) kini bertambah sengit dan hangat selepas Theresa May mengumumkan akan berundur pada 7 Jun ini.

Laporan terbaharu di UK, setakat ini lima ahli parlimen daripada Parti Konservatif menawarkan diri untuk menerajui parti itu selepas kepimpinan tertinggi negara dikosongkan May.

Beberapa wakil rakyat veteran mengisytiharkan minat  masing masing sebelum May memberi perutusan terakhirnya dengan penuh beremosi di Nombor 10 Downing Street kelmarin.

Lebih banyak pengumuman dijangka menyusul dalam  apabila parti itu memandangkan calon perdana menteri baharu diumum sebelum akhir Julai ini.

Isu Brexit dijangka menjadi topik utama dalam perebutan jawatan tertinggi negara itu.

Ini kerana mana-mana pemimpin yang akan mengisi kerusi yang ditinggalkan May akan menangung beban rundingan Kesatuan Eropah mengenai topik Brexit di masa depan.

Bekas Setiausaha Luar, Boris Johnson kini menjadi pilihan bookie dan sangat popular dalam kalangan ahli akar umbi parti.

Sebelum Teresa menzahirkan ucapan terakhir, Boris yang juga bekas Datuk Bandar Kota London sudah meluahkan hasratnya secara terbuka akan merebut jawatan itu.

Calon kedua ialah Jeremy Hunt, 54, yang juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Luar UK akan mengumumkan pencalonan pada masa yang sesuai.

Calon ketiga, Rory Stewart merupakan satu lagi ahli parlimen yang berkhidmat sebagai Setiausaha Pembangunan Antarabangsa UK ketika ini dan pernah menjadi Menteri Alam Sekitar di bawah pimpinan bekas PM UK, David Cameron.

Calon keempat yang menawarkan diri sebagai pengganti May ialah Matt Hancock, 40, yang kini merupakan Setiausaha Kesihatan UK dan merupakan calon termuda.

Calon kelima pula ialah Esther McVey, 51, yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja dan Persaraan UK yang mengumumkan dirinya akan merebut untuk jawatan yang sama.

Bekas penyampai berita televisyen itu percaya pemimpin akan datang perlulah seseorang yang percaya kepada Brexit dan yakin  mampu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan May.- MalaysiaGazette