P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

GEORGE TOWN – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan hak masyarakat India Muslim di negara ini dilindungi serta suara mereka akan didengari di peringkat persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa masyarakat itu bimbang bahawa hak komuniti itu dipinggirkan dan suara mereka tidak diwakili di peringkat kerajaan persekutuan.

“Saya bersedia mendengar masalah mereka dan cuba membantu kerana saya ditugaskan untuk menjaga kebajikan kaum India termasuk India Muslim,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri sesi dialog tertutup dengan pelbagai persatuan India Muslim anjuran Persatuan PELITA ,di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang, Munower Sadiq berkata antara isu yang dihadapi oleh masyarakat itu ialah kekurangan tenaga pekerja dalam bidang penyediaan makanan dan minuman serta kedai emas milik pengusaha India Muslim.

Justeru, beliau, berharap kerajaan akan menyemak semula dasar penggajian pekerja asing dalam dua sektor tersebut bagi mengelak ramai pengusaha India Muslim bergulung tikar, gara-gara kekurangan tenaga pekerja.

— BERNAMA

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/26/dengarlah-rintihan-india-muslim-selama-puluhan-tahun-gepima/