KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya, dengan semangat Malaysia Baharu yang diuar-uarkan kerajaan Pakatan Rakyat (PH), suara golongan India Muslim didengari.

Dengan memberikan contoh isu terbaru dasar kuota untuk kemasukan pelajar ke program matrikulasi, Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) menyatakan ia bukan sesuatu yang baru berlaku.

Malah menurut Presidennya, Syed Osman Mohamed, pihaknya telah bertungkus lumus menyerahkan pelbagai memorandum kepada bekas-bekas Perdana Menteri sejak 19 tahun lalu namun tidak ada apa-apa mampu dilakukan.

Kata Syed Osman, isu pengambilan pelajar untuk mengikuti program matrikulasi terus menghantui pelajar dan pihaknya sudah ‘mati akal’ mengenai perkara itu.

“Dalam kalangan kami (India Muslim), kita juga ada pelajar-pelajar cukup cemerlang namun gagal mendapat tempat ke matrikulasi walaupun lebih daripada layak. Apakan daya, sistem kuota ini menyebabkan kita tidak mendapat tempat.

“Tahukah anda berapa ramai anak-anak kami yang mendapat keputusan sangat cemerlang namun tidak berjaya menempatkan diri selama puluhan tahun ini? Sesuatu yang sukar untuk kami gambarkan.

“Mengikut perlembagaan, kita sememangnya Islam dan Melayu tetapi masih tidak mendapat pengiktirafan sehingga menjejaskan kami, khasnya pelajar-pelajar yang layak mendapat tempat tetapi yang memisahkan kami adalah pengenalan (India Muslim) ini.

“Sejak penubuhan Gepima 20 tahun lepas, kami tidak pernah berhenti berharap untuk diberikan pengiktirafan berkaitan status kami selain daripada tuntutan lain.

“Kami telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir dulu kemudian pernah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri seterusnya, Tun Abdullah Badawi dan kemudian Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Akhirnya pada Disember lepas, kita mengadakan pertemuan dan penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri kini, Tun Dr Mahathir. Semoga sesuatu akan dilakukan dengan semangat Malaysia baharu ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Gepima MemoPerjuangan golongan India Muslim bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya saban kali khasnya ketika pilihan raya, mereka menuntut untuk menjadikan status mereka sebagai Melayu di negara ini.

Sumbangan mereka kepada pembangunan negara seperti perdagangan serta perniagaan sebenarnya amat besar dan tidak sepatutnya dipinggirkan begitu sahaja untuk sekian lama.

Masyarakat India Muslim telah berhijrah dari selatan India pada awal abad ke-10 dan kebanyakannya menetap di Semenanjung Malaysia malah sejak dari awal lagi golongan itu telah menjadi tulang belakang untuk memajukan ekonomi Tanah Melayu.

Dalam sejarah Malaysia, banyak syarikat yang diterajui  India Muslim berjaya dalam perniagaan antaranya ialah Darul Ehsan Property, Kayu Nasi Kandar, Pelita Samudera, Habib Jewel, Kumpulan Syed, Pasar Raya Mydin, Saudagar-Saudagar Kertas, Percetakan Zafar, Malik Streams Corporation Sdn Bhd dan Kumpulan Barkath.

Selain itu, masyarakat India Muslim telah melahirkan tokoh bahasa yang hebat seperti Munsyi Abdullah yang menetap di Melaka pada zaman penjajahan Inggeris.

Ada juga dalam kalangan golongan itu yang berkecimpung dan mencatatkan kejayaan dalam pelbagai bidang lain seperti penyanyi dan komposer tersohor, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur dan bekas Ketua Menteri Sabah.

Jika hendak diberikan contoh, terlampau banyak dan tidak mampu ditulis pada masa kini, katanya.

Dalam pada itu, Syed Osman juga mencadangkan sistem gred digunakan jika kerajaan berhasrat membuka kuota kepada pelajar bukan bumiputera sebagai syarat baharu bagi mengikuti program matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Kata Syed Osman yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia (MBM), seandainya hendak meneruskan sistem kuota mungkin kerajaan boleh memberikan dalam nisbah 70 kepada 30.

“Ini hanya sekadar cadangan, contohnya teruskan hasrat kemasukan 40,000 pelajar ke Matrikulasi dengan memberi 70 peratus kepada golongan bumiputera manakala 30 peratus, 10 peratus kepada India, 10 peratus kepada Cina dan 10 peratus lagi diberikan kepada lain-lain.

“Ini mungkin akan memberikan sedikit pengadilan serta peluang lebih besar kepada pelajar-pelajar cemerlang di negara ini untuk menempatkan diri ke institusi seperti matrikulasi,” ujarnya. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sebagai golongan umat islam yang kedua terbesar di Malysia kerajaan seharusnya memberi perhatian yang serius tentang cadangan anak muda ini. Orang Melayu seharusnya bangga dengan kecapaian orang islam seperti kaum india muslim yang berjay atas titik peluh mereka dan tidak pernah mengemis dari sesiapa pun

Comments are closed.