Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof melihat salah satu biskut raya pengeluaran Ein Cookies sambil diiringi Ketua Pegawai Kewangan Build Up Resources Sdn Bhd, Datuk Vincent Chin (dua kanan) semasa mengadakan sesi ramah mesra bersama Pengusaha Grand Bazar Ramadan Raya 2019 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Lokasi bagi penganjuran festival perayaan di Lembah Klang mungkin perlu dikaji semula ekoran persaingan yang semakin meningkat.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, setakat ini festival perayaan dan bazar Ramadan yang besar memang sudah banyak.

“Kita kena tengok permintaan dan penawaran, kalau kita tengok hari ini tempat-tempat seperti ini (bazar Ramadan) memang banyak macam di Putrajaya dan Cyberjaya Shah Alam pun ada.

“Mungkin kita kena tengok balik sektor swasta, kena tengok adakah kita nak tumpukan kepada satu dua tiga tempat atau pelbagai tempat lain,” katanya katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Grand Bazar Ramadan 2019 anjuran Media Prima di medan letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof bercakap kepada media selepas mengadakan sesi ramah mesra bersama Pengusaha Grand Bazar Ramadan Raya 2019 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2019

Beliau mengulas keluhan peniaga bazar Ramadan di ibu negara sejak awal minggu Ramadan kali ini yang mendakwa jualan merudum dan pelanggan pula tidak ramai disebabkan pemilihan lokasi yang tidak bersesuaian.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Usahawan tidak boleh mengukur setakat mana kejayaan penganjuran mana-mana bazar Ramadan sama ada oleh pihak kerajaan mahupun swasta di negara ini sebelum ia tamat.

Mohd Redzuan berkata, penilaian hanya boleh dilakukan selepas sesuatu festival perayaan itu berakhir sama ada penganjurannya berjaya atau sebaliknya dalam membantu para peniaga.

“Saya tak boleh menyatakan ada keluhan (peniaga) dari segi harga barangan, saya tak boleh nyatakan ada keluhan daripada peniaga.

“Tapi kita tunggulah bila akhirnya event seperti ini, kita baru boleh mengukur setakat mana berjayanya rakan kongsi atau rakan strategik TV3.

“Kita tak tahu sama ada ia berjaya atau tidak, tak boleh buat ukuran lagi.

“Saya rasa pengunjung akan datang, kalau ada keluhan itu mungkin orang yang datang tapi tidak berkemampuan atau menunggu harga runtuh atau menunggu hari sesuai untuk mereka berbelanja, mereka masih tengok empat lima tempat tempat ini masuk, esok dia akan datang semula.

“Kalau disebutkan tadi ada keluhan daripada peniaga bahawa tiada pelanggan lagi, saya harap mereka bersabar. Inilah hakikatnya kita berniaga risiko itu ada, bukan makna hari ini kita jual barang, hari ini orang nak beli,” katanya.

Beliau turut menggesa para peniaga bazar memanfaatkan platform teknologi media sosial untuk mempromosi barangan jualan mereka agar orang ramai dimaklumi.

“Macam-macam (cara) kena promosi mungkin melalui kaedah penggunaan teknologi terkini untuk menguar-uarkan kepada masyarakat umum, saya ada di sini.

“Kempen-kempen yang dibuat oleh televisyen perlu diperbesarkan sebab saya tengok tempat-tempat lain yang mana mereka berkempen begitu agresif saya tengok pengunjungnya ramai yang datang

“Hari ini bulan puasa, masa ini tiada orang, malam mungkin ramai orang dan mungkin esok ramai orang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette