Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) diiringi Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (kiri) di Hotel Le Meridien, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 27 MEI 2019

PUTRAJAYA – Majikan disarankan mencari ‘formula’ terbaik untuk membenarkan pekerja mereka mengikuti latihan industri bagi meningkatkan kemahiran mereka mengikut keperluan pasaran.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, formula khusus seperti itu ‘mengikat’ pekerja dengan kerjasama berbentuk ‘perjanjian’ dengan seterusnya membantu majikan itu memiliki tenaga kerja yang mahir mengikut keperluan dan perkembangan teknologi industri semasa.

Selain itu katanya, ia juga akan membantu pekerja itu sendiri bekerja dalam persekitaran selesa dan selamat sekali gus meningkatkan pengeluaran sekaligus mendorong kenaikan gaji mereka.

Kula Segaran percaya ia juga boleh mengelakkan pekerja daripada lari meninggalkan majikan.

“Kalau kita lihat pelajar yang mengikuti pengajian di luar negara dengan tajaan kerajaan balik menyumbang ilmu dan kepakaran yang dipelajari mereka untuk ekonomi negara menerusi perjanjian.

“Kenapa tidak kita cuba formula sama dalam industri pekerja kita, majikan boleh meneliti formula sama membantu pekerja mereka mengikuti latihan pendidikan dan kemahiran industri dengan berbayar di luar waktu kerja yang memastikan mereka tidak lari dari majikan.

“Maka ia juga memastikan tidak wujud keperluan untuk majikan cenderung dalam menggaji pekarja asing berbanding anak tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai soal kenaikan gaji minimum mengikut beberapa pihak di luar yang menganggap masih belum mencukupi dengan kadar semasa RM1, 100 sebulan.

Beliau juga menyatakan isu peningkatan gaji minimum seperti yang dijanjikan manifesto Pakatan Harapan perlu diperhalusi secara mendalam supaya majikan dan pekerja mendapat situasi menang-menang.

“Semasa lawatan saya ke Kedah baru baru ini yang mana kebanyakan majikan memberitahu bahawa mereka tidak mahu menghantar pekerjanya menjalani latihan kemahiran industri kerana bimbang gajinya perlu dinaikkan dan ada juga akan berhenti kerja selepas mengikuti latihan itu.

“Paling menyedihkan apabila selepas menerima skil kemahiran latihan pekerja cabut lari yang akhirnya menjejaskan perniagaan majikan.

“Sebab itu saya nak mereka meneliti keadah yang seperti dinyatakan diatas menyerupai tajaan pendidikan anak kita di luar negara,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu beliau menambah dalam mesyuarat itu juga turut ditekankan kepentingan memacu dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara bagi meningkatkan kemahiran up-skilling dan dan re-skilling pelajar serta tenaga kerja sedia ada..

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tenaga mahir kepada 35 peratus menjelang tahun 2020 berbanding sekarang hanya 28 peratus sahaja.

Beliau juga mencadangkan agar Jabatan Tenaga Manusia (JTM) membuka pusat latihan kemahiran selepas jam 5.30 petang bagi memenuhi keperluan melatih tenaga kerja sedia ada.

“Sekiranya perkara ini berjaya dilaksanakan dijangka mampu meningkatkan gaji sedia ada sehingga 10 hingga 20 peratus,” ujarnya lagi.

Ahli mesyuarat yang mewakili pelbagai majikan dan organisasi pekerjaan juga mencadangkan agar satu koordinasi melibatkan kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan bersama Universiti Awam dan Swasta dan institusi latihan kemahiran bagi mengkaji semula program program pendidikan dan latihan.

Katanya, ia penting agar mampu memnuhi permintaan dan penawaran dalam sektor pekerjaan untuk lebih menjamin kebolehpasaran belia negara sekaligus menurunkan peratus anak muda menganggur.- MalaysiaGazette