Gambar hiasan

Sebagai pemandu, mereka perlu memastikan mendapat rehat mental dan fizikal yang cukup, lebih-lebih lagi buat mereka yang bakal menghadapi perjalanan jarak jauh bagi mengelakkan kejadian terlelap semasa memandu atau ‘microsleep’.

Terbaru insiden kemalangan maut meragut nyawa Pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39, baru-baru ini ada kaitan dengan ‘microsleep’ berikutan pemandu iaitu suaminya Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, mengakui mengantuk ketika memandu dari kediamannya di Tumpat menuju ke Pattani, Thailand.

Tidak dilupakan insiden kemalangan bas pekerja berdekatan KLIA pada April menyebabkan 10 terbunuh dan 34 cedera, juga antara yang menjadi sorotan.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Hospital Pakar Putra Melaka, Datuk Dr S Ravih, berkata ‘microsleep’ terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlakunya kemalangan di jalan raya kerana apabila badan keletihan, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat, walaupun mata anda terbuka dan tangan memegang stereng.

“Jangan paksa diri untuk terus memandu dalam keadaan badan letih dan mata mengantuk. Berhentilah di mana-mana tempat selamat dan lelapkan mata sebentar. Lima minit pun cukup atau berhenti setiap dua atau tiga jam jika pemanduan jarak jauh,” katanya.

Lazimnya potensi menjadi mangsa ‘microsleep’ apabila memandu jarak jauh, ditambah faktor lain seperti waktu pemanduan, keadaan kesihatan dan kecergasan pemandu, bentuk dan permukaan jalan raya serta keadaan cuaca boleh menyebabkan mengantuk kerana ketika itu segala input daripada deria penglihatan dan pendengaran sudah tidak dapat diproses otak.

Dr Ravih berkata, antara simptom seseorang itu mungkin bakal menjadi mangsa ‘microsleep’ ialah lambat bertindak balas terhadap sebarang maklumat, pandangan kosong, mata berkelip lebih kerap, menguap berlebihan dan tersentak tiba-tiba.

“Biasanya individu yang menjadi mangsa ‘microsleep’ itu merasakan dia masih memandu sedangkan dia telah ‘shut down’ dan ini boleh berlaku ketika mata masih terbuka,” katanya yang menyarankan untuk mengelak memandu waktu puncak mengantuk di antara 3 hingga 5 pagi dan di antara 2 hingga 4 petang.

Mengulas lanjut, Dr Ravih berkata, pekerja syif seperti pemandu lori dan bas berisiko menjadi mangsa microsleep yang lebih tinggi disebabkan perubahan corak pola tidur.

“Mengganggu corak tidur normal boleh menyebabkan keletihan, dan mengantuk siang hari. Mereka yang mengalaminya juga berisiko membuat keputusan yang salah, masalah dengan kewaspadaan, dan sukar memberi tumpuan,” katanya.

Di negara ini, kemalangan lori dan bas kerap kali terjadi, terutama pada awal pagi dan rata-rata pemandu didapati memandu laju kononnya untuk terus berjaga. Mereka memaksa diri demi gaji dan mengejar ‘trip’.

Dr Ravih berkata, ada yang berpendapat kononnya jika kenderaan dipandu laju, akan mengurangkan kesan mengantuk akibat kesan ‘adrenaline’, manakala pemandu akan lebih fokus jika melalui kawasan bengkang-bengkok, sebenarnya hanyalah mitos dan boleh mengundang bahaya.

“Kesan segar dirasai itu hanya seketika. Sistem badan akan ‘burn out’ dan akhirnya akan menyebabkan ‘microsleep’ lebih lama,” katanya.

‘Microsleep’ tidak hanya terjadi semasa memandu, malah boleh terjadi semasa menonton televisyen, ketika berada di dalam kelas, menghadap komputer dalam jangka masa yang panjang dan sebagainya.

Sementara itu Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, majikan pemandu lori dan bas khususnya perlu memberi keutamaan aspek keselamatan kerana kemalangan perjalanan kini menjadi isu utama keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini, apabila ia semakin meningkat.

“Walaupun ada pihak mempersoalkan kesesuaian memandu bas atau lori pada waktu malam, kita perlu ingat perkhidmatan mereka diperlukan untuk menyokong operasi pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

“Kitaran tidur tidak seimbang dan ‘microsleep’ sebenarnya boleh berlaku pada siang hari, seperti yang ditunjukkan dalam pelbagai kajian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast