Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

JOHOR BAHRU – Pelantikan Ketua Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang baharu diharap tidak akan menjejaskan hubungan antara kepimpinan parti itu di negeri ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata apa yang penting, kerjasama dan perpaduan perlu menjadi pegangan kepemimpinan parti itu di negeri ini.

“Surat (pelantikan) sudah dikeluarkan secara rasmi, jadi dia (Mazlan) jalankan tugaslah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Masyakat di kediaman Menteri Besar Johor, Saujana, di sini malam ini.

Ditanya adakah pelantikan Mazlan itu akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri ini berikutan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal tidak memegang sebarang jawatan dalam parti, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berharap tidak akan berlaku perkara sedemikian.

“Saya harap tidak begitu pasal yang pentingnya kita hendak menentukan pentadbiran negeri di bawah MB (Menteri Besar), pertamanya, mendapat sokongan padu daripada seluruh lapisan pimpinan Pakatan Harapan dan Bersatu.

“Yang keduanya, sokongan daripada rakyat jelata, itu penting supaya proses pentadbiran negeri berjalan lancar dan saya yakin MB mampu menggalas tugas, yang penting kita utamakan kerjasama dan perpaduan. MB ini adalah yang mewakili semua kaum dan kumpulan…dia tiada pilih kasih,” katanya.– BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast