Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Bilik Pendengaran Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) di Pejabat KPDNHEP, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 27 MEI 2019

PUTRAJAYA – Tiada tindakan tatatertib dikenakan kepada penganjur majlis berbuka puasa yang menyelitkan acara pesta, pancaragam lagu dan bunga api.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya hanya sekadar memberi teguran kepada AMK Malaysia dengan memaklumkan bahawa kepimpinan parti berasa canggung dengan program itu.

“Setakat teguran sahaja dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Parti (MPP) semalam. Kita nyatakan agak canggung sedikit keadaan itu, terutama ketika 10 terakhir Ramadan.

“Kelazimannya, malam 10 terakhir ini masyarakat Islam memanfaatkannya untuk meningkatkan amal ibadah, menjaga tertib dan tingkah laku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Pendengaran Tribunal Rayuan Persaingan di kementeriannya di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan media, Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Adzman Kamaruddin dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius teguran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penganjuran program itu dengan “acara pesta-pestaan, pancaragam lagu dan bunga api”.

Beliau bagaimanapun, menafikan sebarang penglibatannya dalam program seumpama itu dan difahamkan ia adalah acara persendirian bersifat peribadi yang dianjurkan Timbalan Ketua AMK Malaysia, Hilman Idham dan penyokongnya serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan organisasi AMK Malaysia secara keseluruhannya.

Adzman menyeru seluruh anggota AMK Selangor khususnya yang beragama Islam untuk menumpukan diri menghayati hari terakhir bulan Ramadan dengan pengisian amalan sunat seperti bersolat Tarawih, membaca al-Quran dan memperbanyakkan sedekah kepada golongan yang memerlukan.

Pada masa sama, Anwar turut campur tangan memohon maaf berhubung program itu yang didakwa menyelitkan acara pesta-pestaan.

Katanya, PKR menerima sedikit bantahan dan kekesalan serta memohon maaf ke atas keterlanjuran itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast