Ahmad Faizal
Ahmad Faizal Azumu

IPOH – Cadangan nama baharu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak untuk dilantik sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Perak (Exco) telah dibincangkan di peringkat atasan.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan PH serta komponen gabungan tersebut.

“Kita telah bincang dan saya akan sembahkan nama tersebut kepada Tuanku (Sultan Perak Sultan Nazrin Shah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan juadah Hari Raya Aidilfitri Tahun 2019 kerajaan negeri Perak kepada pasukan beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata Majlis Pimpinan Negeri Perak hanya memberikan cadangan nama tetapi keputusan akhir dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.

Setakat ini, terdapat dua Exco mewakili PKR iaitu ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang memegang portfolio Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, serta ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing selaku Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Terdahulu, Ahmad Faizal menyampaikan kotak juadah antaranya kepada Polis Diraja Malaysia; Tentera Udara Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kesihatan.

Dalam ucapannya beliau meminta mereka yang terpaksa bertugas pada Syawal nanti agar merebut peluang untuk mengeratkan silaturahim bersama rakan sekerja seterusnya mengubat kerinduan berjauhan dengan keluarga.

“Walaupun jauh dari yang tersayang, rayakanlah Aidilfitri dengan rakan taulan yang turut bertugas di hari yang mulia,” katanya. – BERNAMA