KUALA LUMPUR – Poland menentang pelan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit sebagai komponen biofuel dan menegaskan bahawa republik itu tidak berhasrat mengurangkan permintaan bagi minyak sawit Malaysia.

Duta Poland ke Malaysia Profesor Krzysztof Debnicki berkata, negara itu – antara pengeluar makanan utama di EU – adalah satu daripada penerima utama minyak sawit dan komoditi itu digunakan secara meluas dalam industri makanannya selain industri kimia dan kosmetik serta sedikit sebanyak sebagai komponen untuk biofuel.

“Poland tidak berhasrat untuk mengurangkan permintaan terhadap minyak sawit meskipun menjadi antara pengeluar minyak biji sesawi terbesar di Eropah. Tiada juga keperluan untuk mengenakan sebarang sekatan berkaitan minyak sawit Malaysia.

“Syarikat makanan kami membeli minyak sawit Malaysia menerusi syarikat khusus Belanda dan Jerman. Beberapa produk Poland yang menggunakan minyak sawit sebagai komponen turut dikembalikan ke pasaran Asia, termasuk Malaysia,” katanya dalam satu temu bual dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini.

Duta itu berkata, beliau juga mewakili pendirian Poland berkaitan isu pengharaman EU.

“Pendirian Poland berkaitan pindaan arahan REDII EU yang mengharamkan penggunaan minyak sawit sebagai komponen biofuel adalah jelas sejak awal lagi.

“Kami menentang pindaan itu kerana kami percaya ia tidak sistematik, bersifat memilih dan tidak menyelesaikan isu yang berkaitan dari perspektif Poland,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga ketidakpastian bahawa larangan EU berkaitan penggunaan minyak sawit dalam biofuel akan menyebabkan penggunaan tanaman lain dan pengeluaran mereka lebih mampan.

“Poland, sebagai tuan rumah persidangan iklim COP24 di Katowice, menyokong dasar EU dalam bidang perlindungan alam sekitar dan iklim, namun menganjurkan satu pendekatan seimbang dalam isu ini dan pengeluar tanpa diskriminasi jenis bahan mentah tertentu,” katanya.

Debnicki menegaskan bahawa peraturan perundangan yang mengenakan sekatan ke atas eksport minyak sawit dari negara seperti Malaysia mungkin mempunyai kesan negatif bagi pengeluar kecil dan sederhana bahan mentah ini.

“Kami memahami pelbagai aspek peralihan politik dan ekonomi yang sering menyakitkan kerana di Poland kami telah melalui proses sedemikian selepas kejatuhan komunisme pada 1989. Monokultur terlalu bergantung kepada keperluan dan selalunya kehendak pasaran luar.

“Bagaimanapun, pengeluar minyak sawit Malaysia harus diberi masa untuk mempelbagaikan produk lain dan bukan dipaksa untuk muflis,” katanya sambil memuji usaha Malaysia untuk mencapai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi industri minyak sawitnya.

Debnicki juga menyatakan bahawa beliau tidak menyukai isu minyak sawit sebagai elemen paling penting yang membentuk hubungan antara Malaysia dan EU.

“Penyelesaian ini adalah demi kepentingan Malaysia dan EU serta negara anggota individu. Poland akan berusaha dan menyokong semua aktiviti yang dapat mengurangkan ketegangan keadaan semasa,” kata Debnicki.

Malaysia dan EU bertelagah berhubung pelan yang dicadangkan untuk mengehadkan minyak sawit dalam biofuel bermula 2021 dan menghentikannya secara berperingkat-peringkat menjelang 2031.

Blok 28 anggota itu berkata penanaman sawit telah menyebabkan penebangan hutan dan perubahan iklim.

Malaysia menolak tuntutan itu dan menyifatkannya sebagai mengelirukan dan menjejaskan ekonomi industri tersebut terutama kepada kira-kira 650,000 pekebun kecil sawit di negara ini.

Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia.

Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan bahawa Malaysia mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke EU pada 2018, merosot sebanyak empat peratus daripada 1.99 juta tan yang dicatat pada 2017.

EU adalah pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas India, membeli 12 peratus daripada jumlah minyak sawit yang dihasilkan pada 2018. – Bernama