Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bercakap kepada media pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Pihak yang mengeluarkan dakwaan mengenai kekejaman polis terhadap banduan di negara ini tidak perlu takut apabila dipanggil untuk disiasat oleh polis.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan menyiasat pengadu kekejaman atau salah laku polis bukannya untuk ditangkap tetapi untuk mendapatkan penjelasan dan keterangan lanjut berhubung dakwaan tersebut.

Katanya, mana-mana pihak yang berani mengeluarkan tuduhan-tuduhan dakwaan mengenai kekejaman polis siasatan dijalankan dan apabila ia buntu pengadu akan dipanggil untuk disoal lanjut.

“Kita panggil pengadu bukan untuk ditangkap hanya nak ditanya..kalau Suaram (Suara Rakyat Malaysia) sendiri membuat tuduhan itu, maka dia dipanggil dan sudah pun tampil menjelaskan dari mana dia dapat maklumat itu. bukan nak tangkap dia..

“Ia proses normal polis untuk mengetahui daripada mana dia dapat cerita kononnya tahanan itu telah diseksa dan didera polis. Itu biasa, janganlah takut.

MGF30052019_Program Kepolisan Berprofil Tinggi_11
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador beramah mesra bersama pengunjung ketika meluangkan masa melawat bazar ramadan pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2019

“Jadi sesiapa yang ada maklumat perlulah bertanggungjawab dan apabila diminta jelaskan,, silakan jangan tembah hentam keromo saja,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke Bazaar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya di sini anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Awam Bukit Aman dan Balai Polis TTDI.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai desakan Suaram yang mahu pemimpin nombor satu keselamatan negara campur tangan menyiasat penderaan tahanan dalam polis yang berlaku Klang Selatan.

Beliau turut mengulas mengenai satu lagi insiden yang telah berlaku di Sentul sehingga media melaporkan meluas berita yang diviralkan pihak tidak bertanggungjawab itu sehingga polis digambarkan sebagai amat jahat.

“Dakwaan dibuat kononnya tahanan di layan teruk sehingga melumurkan cili di badan sehingga memberi impak negatif kepada polis.

Tetapi apabila diambil tindakan menyiasat, kita dapati unsur dakwaan itu tidak benar dan berniat jahat dan kita pun cuba cari dia tapi yang beri maklumat viral itu melarikan diri.

“Walau apapun kita akan mengambil tindakan terhadap apa yang didakwa Suaram. Kita ada hak membela diri dan sekiranya ia benar, oklah.

“Kalau tindakan Suaram tak benar, maka kami akan mengambil tindakan buat laporan polis dan kamu (Suaram) pula akan menghadapinya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette