Aminuddin Yahaya
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum desakan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk meletakkan jawatan dihadapan pintu masuk Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2019

PUTRAJAYA – Keengganan Tommy Thomas menemui serta menerima sendiri memorandum daripada Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mendesaknya melepaskan jawatan, bukti beliau tidak mempunyai sikap terbuka sebagai Peguam Negara.

Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, sikap negatif itu tidak sepatutnya ada pada seorang penjawat awam yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Kita dimaklumkan tadi, beliau ada di pejabat di atas tapi beliau tidak mahu berjumpa dengan pihak kami atas alasan-alasan yang mungkin beliau sendiri tahu.

“Walaupun kita merayu nak berjumpa tapi beliau enggan berjumpa dengan kita, saya rasa ini bukan sikap terbuka yang ada kepada Peguam Negara, kita hanya nak serah surat saja.

“Kita minta berkali-kali untuk hantar sendiri memorandum ini ke tangan beliau, tapi yang menerima memorandum tadi sebut bahawa memang dari awal beliau enggan untuk menerima sendiri memorandum ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum Pejabat Peguam Negara, di sini, hari ini.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya sambil diiringi timbalannya, Kamaruzaman Mohamad (kanan) dan Pengerusi Gabungan Banteras Aktiviti Haram, Masridzi Sat (dua kiri) menyerahkan memorandum mendesakan Tommy Thomas meletakkan jawatan kepada Pegawai Pejabat Peguam Negara, Wasri Ahmad Sujani (tengah) di hadapan pintu masuk Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2019

Sebaliknya Tommy hanya mewakilkan penjawat awam pejabatnya yang hanya mahu dikenali sebagai Wasri tanpa menyatakan jawatannya di pejabat Peguam Negara.

Memorandum mendesak Tommy meletakkan jawatan antara lain menyatakan Peguam Negara itu telah menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam kalangan rakyat terutama kegagalan beliau menguruskan isu-isu besar negara seperti ICERD dan Statut Rom.

Aminuddin berkata, desakan itu dibuat susulan kegagalan Tommy mengendalikan kes kematian anggota bomba dengan berkesan, malah bertindak mengeluarkan afidavit mengatakan kematian Muhammad Adib tidak disebabkan oleh pukulan oleh mana-mana pihak.

“Beliau juga dilihat tidak mampu menjalankan tugas secara adil apabila mengemukakan afidafit bahawa Muhammad Adib tidak dilanggar walaupun inkues masih berjalan,” katanya.

Lebih malang, katanya, apabila Tommy mengarahkan peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada inkues berkenaan dan mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak bomba.

“Faktor-faktor tersebut menjadikan rakyat hilang keyakinan tentang kewibawaan tuan untuk bertindak sebagai Peguam Negara

“Sehubungan itu Ummah yang mewakili 300 NGO Islam menuntut peletakkan jawatan sebagai peguam negara dengan kadar segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette