Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar meluangkan beramah mesra dengan pemandu bas ekspres pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Aidilfitri 2019 di Perkarangan Tempat Letak Kereta Plaza Tol Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2019

GOMBAK – Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya meneruskan tanggungjawab sivik mereka sepanjang masa dalam mengikuti kempen merakam kesalahan lalu lintas kenderaan lain.

Bagaimanapun, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar, hanya penumpang di dalam sesebuah kenderaan yang digalakkan merakam kesalahan pemandu kenderaan lain dan mana-mana pemandu yang berbuat demikian adalah satu kesalahan.

Beliau berkata, amalan seumpama itu perlu diteruskan sepanjang tahun dalam memastikan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya kemalangan maut tercapai.

“Pelaksanaan kempen merakam kesalahan lalu lintas kenderaan lain itu dijalankan sepanjang masa. Kita perlu ada sikap bahawa aspek keselamatan ini bertambah baik dan tanggungjawab sivik setiap pengguna jalan raya amat kita hargai.

“Bukan sahaja kita jaga diri kita, tapi jika berlaku pelanggaran yang amat jelas di jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2019 di plaza tol Gombak, hari ini.

MGF01062019_PROGRAM KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA AIDILFITRI03
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar menyempaikan cenderamata kepada pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Aidilfitri 2019 di Perkarangan Tempat Letak Kereta Plaza Tol Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2019

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu juga sempat mengedarkan cenderahati kepada pengguna-pengguna Lebuhraya Pantau Timur yang memulakan perjalanan untuk menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun minggu lalu, Kamaruddin dilaporkan berkata perbuatan itu dilarang kepada pemandu kenderaan kerana mereka boleh dikenakan tindakan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Ia termaktub dalam larangan penggunaan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan yang diperuntukkan di bawah kaedah 17A Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.

Katanya, mana-mana pemandu dilarang menggunakan alat komunikasi termasuk telefon bimbit tanpa alat bebas tangan dan mereka yang melanggar peraturan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, Kementerian Pengangkutan berjaya mengurangkan kadar maut di jalanraya daripada 19 kematian secara purata sehari pada 2017 kepada 18 kematian sehari dalam tahun lalu.

“Hasrat kita bukan untuk hanya untuk menurunkan tapi dalam kadar yang lebih besar lagi.

“Ini adalah kempen yang penting kerana kemalangan jalanraya lebih tinggi peratusannya di musim perayaan kerana banyak kereta dan sikap pemandu yang bawa kereta yang agak laju dan terdesak,” katanya. -MalaysiaGazette