Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Jika terdapat sebarang ‘kekhilafan’ dikesan dalam hukuman yang telah dijatuhi oleh majistret, platform yang betul untuk membincangkan mengenai penemuan tersebut adalah menerusi forum rayuan.

“Pada pandangan saya, begitulah bagaimana kedaulatan undang-undang sepatutnya berfungsi dalam negara demokrasi,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), Hanipa Maidin.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata, biar pun ada ruang untuk membahaskan ‘kekhilafan’ tersebut namun pada masa yang sama, penghakiman yang telah diputuskan oleh majistret perlu dihormati.

Hanipa yang merujuk kepada kes ‘abang botak’ berkata, banyak pihak tidak akan membiarkan mana-mana insiden buli jalan raya dengan cara memecahkan cermin kereta.

Malah, katanya, ada pihak berpendapat kelakuan seperti itu sebagai tindakan tidak bertamadun.

Namun, tidak kurang pula yang berpandangan hukuman yang dijatuhi oleh majistret terhadap pesalah agak melampau.

” Saya tidak mahu mengulas apa-apa mengenai hukuman, melainkan setiap hukuman dalam undang-undang jenayah sepatutnya berfungsi sebagai mekanisme pencegahan.

“Hukuman sebagai satu cara memulihkan pesalah. Tidak perlu dikatakan bahawa ia telah menjadi subjek perdebatan undang-undang yang sangat lama, sejak bertahun-tahun dalam kalangan pengamal undang-undang,” ujarnya.

Isu ‘abang botak’ menjadi diperkatakan netizen selepas Danial Abdullah, 31, dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas dia mengaku bersalah menghentak cermin sebuah kereta dengan topi keledar di Taman Bukit Serdang Seri Kembangan, 5.30 petang pada Selasa lalu.

Susulan keputusan itu, Danial terpaksa menyambut Aidilfitri di penjara kerana mahkamah memutuskan hukuman itu bermula pada hari dia ditahan.

Ketika prosiding Danial dengan suaranya tersekat-sekat memberitahu Majistret Nurshahirah bahawa pemandu kereta tersebut cuba melanggarnya dan menunjukkan tanda jari sehingga memaksanya “membuat keputusan bodoh”.

“Puncanya dia (pengadu) hendak melanggar saya dan menghimpit saya… saya berhentikan dia untuk berbicara, namun dia menunjukkan tanda jari dan disebabkan itu saya buat keputusan bodoh,” katanya dengan nada sebak dan meminta maaf atas perbuatannya itu.

Kes itu menarik perhatian seorang peguam yang menyifatkan hukuman penjara 12 bulan ke atas lelaki itu sebagai tidak adil.

Peguam tersebut, Suzana Norlihan Ujen berkata, beliau mahu membantu Danial kerana berpendapat lelaki itu wajar dikenakan denda berbanding hukuman penjara yang diputuskan mahkamah.

Suzana yang membuat perbandingan kes itu dengan Lan Pet-Pet yang hanya didenda RM2,000 kerana memukul pegawal keselamatan menyigatkan keadilan di Malaysia semakin pupus. – MalaysiaGazette