KUALA LUMPUR – Bukan setakat orang bukan Islam, pemimpin bertaraf menteri yang mempunyai kepentingan politik pun tidak digalakkan mengagihkan wang zakat, kata bekas penasihat syariah bank, Aznan Hasan.
Menceritakan pengalamannya berdepan dengan kerenah seorang menteri di era kerajaan terdahulu, katanya, sepanjang berkhidmat, beliau amat berhati-hati dengan agihan zakat.
“Ketika itu saya hanya akan pastikan agihan zakat ini jauh daripada seorang menteri yang mencadangkan untuk diagihkan kepada golongan sasar dalam kawasannya.
“Menteri itu hubungi saya dan tanya kenapa agihan zakat ini tidak diberikan kepada ahli politik, sedangkan nama penerima yang dikemukakan adalah asnaf yang layak menerima sumbangan.
“Saya kata tak ada masalah. Kami boleh buat penilaian kami dan kami akan serahkan, tanpa perlu kehadiran menteri berkenaan,” katanya dalam posting akaun Facebooknya.

Beliau membuat hantaran itu sebagai peringatan kepada pihak berkenaan yang seolah memandang sebelah mata berhubung keghairahan beberapa ahli politik bukan beragama Islam mengagihkan wang zakat kepada golongan asnaf.
Kata Aznan, beliau berbuat demikian kerana tahu zakat adalah duit yang dikutip dari umat Islam untuk diserahkan kepada orang Islam.
“Kenapa pula yang menyerahkannya adalah bukan Islam, sudah tidak ada orang Islamkah untuk serahkan duit zakat itu?
“Tanpa perlu bicara soal zakat itu ibadah atau tidak, tanpa perlu bicara maqasid zakat dan sebagainya, dari segi logik pun orang bukan Islam agihkan zakat memang tidak kena,” ujarnya.
Beliau berkata, apa yang dinyatakan itu adalah pengalamannya tetapi tidak tahu konsep yang dilaksanakan penasihat syariah lain.
Baginya mudah, beliau tidak mahu agihan zakat menjadi kepentingan politik sesiapa sekalipun.
“Apa yang penting zakat sampai kepada mereka, tidak penting melalui sesiapa, termasuklah saya sendiri pun.
“Prinsip ini menyebabkan saya kurang disenangi ahli politik tetapi suka saya tegaskan, jika ini yang kita lakukan kepada Ahli Parlimen dan ADUN beragama Islam, apatah lagi jika agihan zakat ini menjadi keuntungan politik pemimpin bukan Islam,” katanya.
Beliau turut menjelaskan amalan Islam di zaman slogan Rahmatan Lil Alamin sekarang ini sememangnya mengelirukan. – MalaysiaGazette
















