Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor didakwa tidak serius dalam mempromosi negeri itu sempena Tahun Melawat Johor 2020 yang akan bermula dalam tempoh enam bulan.

Persoalan itu ditimbulkan bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sehingga kini belum ada sebarang pengumuman besar atau iklan awal yang menarik mempromosikan negeri ini kepada pelancong dibuat kerajaan negeri.

Tegas beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung sepatutnya sudah rancak mempromosikan pelbagai tempat menarik di negeri ini.

Namun katanya, sehingga hari ini juga, tiada sasaran pengunjung ditetapkan dan apakah strategi yang disediakan kerajaan negeri bagi memastikan jumlah tersebut dicapai selain apakah program atau acara yang disusun untuk promosi secara berterusan.

“Tidak sampai enam bulan, Tahun Melawat Johor 2020 akan bermula. Jangkaan kita, Johor pastilah akan menjadi destinasi sasaran pengunjung tempatan dan pelawat luar negara dari serata dunia dan akan ada pelbagai promosi menarik, persembahan memukau serta cara berterusan bagi menggamit kunjungan pelancong.

“Tetapi mengapa Johor kelihatan sangat sunyi dan sepi, seolah-olah Johor tidak bersedia menerima pengunjung. Seperti tidak mahu orang datang ke tempat kita atau kerajaan negeri tidak berasa bahawa Johor adalah negeri yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan yang bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khaled berkata, walaupun Johor banyak tempat menarik untuk dilawati, promosi dan kempen serius perlu dilakukan dengan kreatif, berkesan dan terlihat.

Tambahnya, promosi dan kempen Tahun Melawat Johor sepatutnya sudah berjalan meriah dan rancak, tambahan pula, pada tahun hadapan juga Johor akan menjadi tuan rumah SUKMA 2020. Malah, 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia.

“Justeru, di mana keseriusan dan kesungguhan kerajaan dalam perkara itu? Jangan jadikan Johor negeri malap,” katanya. – MalaysiaGazette