Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Muafakat di antara UMNO dan Pas tidak wajar dijadikan tiket untuk membawa unsur perkauman.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerjasama kedua-dua parti itu dalam politik perlu berlangsung dalam landasan yang betul.

“Muafakat UMNO-Pas adalah benar dan penuh keberkatan. Tetapi ia bukan tiket untuk unsur dan anasir perkauman masuk gelanggang bermain api.

“Pas menegaskan, Islam menolak perkauman dan asabiah. Jangan rosakkan muafakat yang mulia ini dengan bangkai jahiliyah yang telah dibuang oleh agama Islam yang suci,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hubungan Pas dan UMNO yang kini dilaporkan dalam peringkat akhir untuk dimeterai secara rasmi.

Tambah Nik Abduh, kedua-dua parti itu perlu saling waspada dengan agenda musuh yang mahu merencatkan keyakinan rakyat dengan unsur-unsur perkauman.

“UMNO dan Pas mestilah sentiasa berjaga-jaga sedari awal daripada agenda musuh yang sengaja menyucuk jarum perkauman agar tumbuh segar seterusnya merencatkan keyakinan rakyat terhadap kemaraan muafakat pembangkang menuju Putrajaya,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast