Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA melahirkan rasa terganggu mereka dengan pelantikan bekas pemimpin PKR merangkap aktivis perundangan dan politik, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, bukan satu rahsia ‘perang’ antara Latheefa dan Anwar lagi-lagi pemimpin wanita itu sentiasa secara lantang dan terbuka mengkritik Presiden partinya sendiri dalam pelbagai isu.

“Saya rasa sangat terganggu apatah lagi sejak awal lagi kita tahu sasaran Latheefa sejak dulu adalah Anwar. Jadi apakah nasibnya selepas ini bagi terus mengimpikan jawatan Perdana Menteri selepas ini?

“Juga mahu tahu adakah lantikan ini sebenarnya satu konspirasi bagi membantutkan Anwar dari terus menjadi Perdana Menteri? Harap tidak benarlah.

“Secara peribadi, rata-rata warga PKR sentiasa merasakan Latheefa sebagai seorang yang tidak terkawal dan menjejaskan parti bak kata ‘loose cannon’.

“Jadi adalah normal dan munasabah untuk mana-mana pihak gusar, bimbang dan risau dengan pelantikan Latheefa ini,” katanya sebentar tadi.

latheefa sprmKa Siong juga mempersoalkan kewibawaan serta integriti SPRM sebagai sebuah badan bebas selepas ini apatah lagi secara terang-terangan sudah menampakan campur tangan politik.

“Mana pergi intergriti dan kewibawaan SPRM selepas ini? Semua hendak tahu juga.

“Imej SPRM kini tercemar dan sesiapa pun orang yang waras tidak akan merestui pelantikannya termasuk pimpinan partinya sendiri. Letak jawatan atau tidak, kita semua tahu Latheefa.

“Sepatutnya jawatan itu digantikan oleh warga SPRM sendiri yang jauh lebih berpengalaman, bebas dan penuh wibawa.

“MCA sentiasa berpendirian  tiada ahli politik yang masih aktif patut mengetuai SPRM dan agensi keselamatan relevan lainnya,” katanya. – MalaysiaGazette