KUALA LUMPUR – Memulakan langkah dalam bidang perniagaan seawal usia 23 tahun, sedar tidak sedar sudah 34 tahun pakar keusahawan, Datuk Faridah Hanim Haron atau mesra dengan panggilan Ibu Hanim mengharungi perjalanan hidupnya penuh dengan onak duri.
Siapa sangka wanita kelahiran Kampung Baru di sini dapat mendepani cabaran, menongkah arus kemampuan diri sehingga mampu berada di puncak kerjaya yang tidak pernah terlintas langsung di fikiran.
Bermula membawa bekalan produk dari ibu kota dengan membuka kedainya di Dungun dan Kerteh, Terengganu, beliau kini bergelar Presiden Annems Leadership Solution Sdn Bhd..
Ibu Hanim kini gigih membantu syarikat tempatan menyusun kembali organisasi syarikat dan kembali bergerak mengikut hala tuju sepatutnya dengan mengadakan seminar dan ceramah untuk usahawan.
“Saya tidak mahu menyimpan pengalaman dan ilmu yang ada sepanjang berada di sektor korporat, sedangkan anak bangsa kini memerlukan banyak panduan dan perkongsian ilmu untuk maju ke depan.
“Saya memilih jalan ini atas dasar tanggungjawab dan mahu semua pihak bersikap proaktif untuk bangkit mendepani cabaran ekonomi kini,” katanya yang pernah koma seminggu selepas ditimpa pengalaman.
Semua pengalaman Ibu Hanim termasuk di Petronas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) sebagai pakar pembangunan pendidikan awal kanak-kanak dan penasihat usahawan kini dikongsikan dalam sebuah buku.

Diberi judul Melakar Visi Menjadi Realiti, buku yang dijual pada harga RM50 akan berada di atas talian selepas Aidilfitri ini.
“Buku ini sangat istimewa bagi saya kerana pertama kali saya mengumpul semua pengalaman untuk dikongsi bersama orang ramai.
“Harga mungkin tidak berbaloi dengan pengalaman saya namun banyak formula yang pasti berguna kepada pembaca,” katanya yang mengambil masa tiga bulan menyiapkan buku itu.
Karier Ibu Hanim bermula pada tahun 1997 apabila beliau dijemput menyertai PETRONAS sebagai guru besar di tadika dan taska PETRONAS di Kerteh.
Beliau bermula dengan 200 kanak-kanak di dua bangunan tadika PETRONAS, jumlah kanak-kanak meningkat kepada 800 orang di lima bangunan tadika PETRONAS.
Ibu kepada tiga anak ini juga diberi kesempatan merombak semula kurikulum dengan menerapkan kaedah pembelajaran bersepadu, bersesuaian keperluan anak tempatan.
Selama 20 tahun di PETRONAS, Ibu Hanim pernah menjadi perunding kepada 154 anak syarikatnya dan menjadi wakil serta berurusan dengan pelbagai pihak dan agensi gergasi di luar negara.
Berhijrah daripadan PETRONAS, Ibu Hanim menerima pelawaan TalentCorp untuk membantu melicinkan perjalanan Projek Transformasi Nasional. Ketika itu TalentCorp sedang giat memanggil semula pakar tempatan untuk pulang ke Malaysia dan diserapkan ke sektor awam.
Kredibiliti Ibu Hanim diakui dan beliau terpilih membina kualiti pemimpin di SPRM. Sebagai penasihat di Akademi SPRM, beliau diberi kebebasan untuk turut menyumbang ilmu kepada kelompok usahawan. – MalaysiaGazette
















