Ketua Pengarah baharu SPRM Latheefa Beebi Koya menandatangani buku pelawat di ibu pejabat beliau sebagai tanda memulakan tugasnya scara rasmi dengan disaksikan oleh para pegawai kanan dan tertinggi institusi itu pada pagi ini. Foto: SPRM

KUALA LUMPUR – Latheefa Beebi Koya hari ini membuat penampilan pertama di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk memulakan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya secara rasmi.

Peguam berpengalaman selama 20 tahun itu hadir ke SPRM sebelum menandatangani buku melapor tugas  selepas diumumkan sebagai peneraju badan pencegah rasuah negara itu yang berpusat di Putrajaya.

Dalam kenyataan rasmi sebentar tadi, Latheefa berkata, beliau telah memulakan tugas hari penuh pertama beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Latheefa mulakan tugas1
Ketua Pengarah baharu SPRM Latheefa Beebi Koya menandatangani buku pelawat di ibu pejabat beliau sebagai tanda memulakan tugasnya scara rasmi pada pagi ini. Foto: SPRM

“Sudah banyak pendapat yang dikeluarkan semenjak pelantikan saya diumumkan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Sesiapa pun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa.

“Tugas saya jelas iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja dan dengan sokongan serta dokongan rakyat dan pegawai-pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas dari rasuah,” katanya.

Menurut bekas Pengarah Lawyer For Liberty itu, beliau juga akan melihat kepada tindakan jangka panjang, termasuk yang menyentuh aspek pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah.

Katanya adalah menjadi hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah.

latheefa mulakan tugas berdiri
Latheefa memulakan tugas rasminya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu pagi ini bersama barisan Pegawai kanan SPRM di ibu pejabat yang terletak di Putrajaya.Foto: SPRM

“Dengan pertolongan Allah SWT, saya berharap untuk berjaya dalam tugas saya ini,” tegasnya lagi.

Pada 4 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu adalah selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa 1 Jun lalu.

“Pelantikan ini adalah antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi kerajaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan Latheefa selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan permohonan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020.- MalaysiaGazette