Datuk Mohd Imran Tamrin
Datuk Mohd Imran Tamrin

KUALA LUMPUR – Tindakan Latheefa Koya mengumumkan untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya tidak mengubah persespsi rakyat bahawa beliau akan membuat keputusan yang berat sebelah apabila menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin mendakwa, tindakan keluar parti itu tidak memberi jaminan bahawa keputusan yang bakal dibuat kelak bebas daripada tekanan pihak tertentu.

“Kita tak mahu beliau menjadi seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang membuat sesuatu keputusan tapi terikat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku yang melantik, Kabinet atau bos beliau sendiri sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di dalam PKR.

“Kita risau keputusan-keputusan dan apa jua yang beliau tadbir dalam SPRM ini akan berat sebelah yang tidak dapat dielakkan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 4 Jun lalu mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Mohd Imran juga melahirkan kebimbangan sekiranya kaedah pelantikan itu berleluasa kelak akan menyaksikan lebih ramai ahli politik daripada Pakatan Harapan (PH) dilantik untuk mengetuai agensi penguatkuasaan lain.

“Kita khuatir yang akan datang, banyak lagi agensi penguatkuasaan (ketua) dilantik dalam kalangan ahli-ahli politik.

“Yang paling kita khuatir akan datang mungkin ketua polis negara mereka boleh lantik dalam kalangan bukan dalam jabatan polis sendiri,” katanya.

Katanya lagi, keadah pelantikan itu juga bertentangan dengan agenda reformasi yang diperjuangkan PH dalam buku jingga dan manifesto PRU14 untuk melaksanakan pengasingan kuasa.

“Kalau nak dilantik dalam kalangan mereka yang mahir undang-undang atau dari segi perundangan, ada ramai lagi pegawai dan pengarah di Jabatan Peguam Negara yang berkelayakan, kenapa pilih daripada sana (PKR).

“Ini tidak lantik dalam kalangan orang luar iaitu peguam, kalau dia peguam kita lihat neutral dan tidak berat sebelah tak apa, ini peguam PKR sendiri dilantik.

“Ini sesuatu yang tidak lazim dan ia melanggar prinsip pengasingan kuasa dan kita khuatir akan ada berat sebelah dalam keputusan-keputusan yang akan dilakukan oleh Latheefa Koya,” katanya. – MalaysiaGazette