Ketua Pengarah baharu SPRM Latheefa Beebi Koya menandatangani buku pelawat di ibu pejabat beliau sebagai tanda memulakan tugasnya scara rasmi pada pagi ini. Foto: SPRM

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu digesa menyiasat semula kes banglo dan skandal terowong Pulau Pinang melibatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Tindakan itu ujar Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan akan membuktikan kemampuan Latheefa Koya untuk menggalas tanggungjawab secara adil dan profesional.

Jika sebaliknya, maka kata Cheng Guan, pelantikan Latheefa hanya sia-sia.

“Rakyat pasti ternanti-nanti tindakan sewajarnya diambil dan sekiranya kes-kes tersebut tidak disentuh maka jelas bahawa lantikan beliau tidak ada perbezaan dengan lantikan politik yang lain,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, Latheefa perlu peka dan bijak menilai isu yang perlu menjadi keutamaan khususnya yang berunsur rasuah.

“Saya yakin Puan Latheefa sedang mendengar dan membaca pandangan pelbagai lapisan masyarakat. Malah sebagai aktivis masyarakat yang peka terhadap pelbagai isu utama di dalam negara, beliau pasti tahu keutamaan dalam menjalan tugasan sebagai KP SPRM,” katanya.

Untuk rekod, SPRM mula menyiasat Guan Eng pada Mac 2016 selepas satu laporan dibuat terhadapnya kerana membeli sebuah banglo pada Julai 2015.

Kemudian September tahun lalu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu daripada tuduhan rasuah meluluskan satu urus niaga tanah, dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran.

Pada 4 Mac lalu SPRM mengesahkan sudah membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Ia susulan pendedahan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel yang dikata berdasarkan kertas siasatan SPRM, mendakwa Guan Eng semasa menjadi Ketua Menteri negeri itu serta empat exco terbabit rasuah berhubung projek bernilai RM6.3 bilion itu.

SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018. -MalaysiaGazette