Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

JOHOR BARU- Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim menggesa sebarang kempen atau petisyen meminta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya meletakkan jawatan dihentikan.

Menurutnya, Latheefa seharusnya diberikan ruang dan peluang untuk menunaikan amanahnya untuk menerajui badan pencegahan rasuah itu.

Hassan juga menyeru agar semua ahli PKR merapatkan barisan dan menerima keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

“Jangan kita jadikan pelantikan beliau sebagai punca kepada perpecahan dalam Pakatan Harapan.

“Keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri adalah muktamad. Sama ada kita suka atau tidak, kita perlu menerima keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hassan, beliau percaya kenyataan yang dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tersebut akan membuatkan Perdana Menteri sedar bahawa sebarang keputusan yang bakal diambil pada masa hadapan perlu dirujuk ke Kabinet atau majlis tertinggi Pakatan Harapan terlebih dahulu.

“Mari kita jadikan isu ini sebagai satu pengajaran kepada Pakatan Harapan untuk bersatu dan terus melangkah ke hadapan,” tambahnya.

Tambah Hassan, berdasarkan perspektif moral politik, perbuatan Anwar meminta penjelasan daripada Dr. Mahathir adalah sesuatu yang betul bersandarkan kepada manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya yang lalu.

“Dari segi undang-undang, keputusan Perdana Menteri untuk melantik Latheefa tanpa merujuk kepada Kabinet atau parlimen adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang sedia ada.

“Perbezaan pendapat dan pendekataan di antara Dr. Mahathir dan Anwar dalam isu ini menunjukkan demokrasi dalam Pakatan Harapan dan menjadi tindakan semak dan imbang bagi menghalang Perdana Menteri menjadi autokratik atau meletakkan kabinet sekadar rubber stamps,” ujarnya lagi.

Menurut Hassan, Latheefa mempunyai kredibiliti dan tanggungjawab untuk membenteras rasuah di negara ini tanpa ada rasa takut atau terhutang budi. – MalaysiaGazette