Ramli Mohd Nor
Ramli Mohd Nor. foto NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd Nor mencadangkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kematian dan penyakit yang menyerang suku Bateq.

Katanya, jawatankuasa yang dianggotai golongan profesional bidang di peringkat Kementerian atau Parlimen itu juga akan membuat laporan serta mencari penyelesaian kepada isu tersebut.

“Saya telah merangka beberapa soalan dan cadangan yang akan saya bawa ke persidangan Parlimen sesi Julai penggal ini yang wajib dijawab oleh Menteri bertanggungjawab dalam isu permasalahan musibah penyakit yang berlaku di perkampungan Orang Asli di Gua Musang ini.

“Jawapan yang akan diberi melibatkan jawapan dari Menteri Kementerian Kesihatan, Perpaduan Negara dan Kesejahteraan
Sosial, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli,” katanya dalam kenyataan.

Negara dikejutkan dengan musibah yang menimpa 29
Orang Asli suku kaum Batek di Gua Musang yang mana pemeriksaan klinikal awal menunjukan mereka mempunyai tanda-tanda ‘Jangkitan di Saluran Pernafasan’.

Daripada jumlah itu membabitkan tiga  orang bayi, 10 kanak-kanak dan 16 dewasa yang mana 12 kes dirawat sebagai
pesakit luar manakala 17 kes telah dirujuk ke Hospital Gua Musang.

Daripada 17 orang tu, tiga orang dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan rapi.

Verifikasi dari Hospital Gua Musang dalam tempoh kebelakangan ini mendapati seramai dua orang meninggal dunia dan selepas bedah siasat didapati punca kematian adalah jangkitan paru-paru (Pneumonia).

Menurut Ramli, jawapan yang diberikan di Parlimen akan membolehkan rakyat Malaysia, terutama Orang Asli Semenanjung menilai dan membandingkan dasar dan pelaksanaan yang berlaku ‘On the Ground’ untuk membantu kaum itu.

“Jawapan Menteri berkaitan nanti, dapat menggambarkan sama ada ia berbentuk retorik dan ‘Lip Services’, penyedap mulut untuk
didengar atau jawapan mengelak atau benar-benarkah Kerajaan Pusat ambil peduli kesejahteraan Masyarakat Orang Asli Semenanjung.

“Baru-baru ini begitu gah Kerajaan menghebah akan mengadakan ‘Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli Nasional’ yang masih tidak timbul-timbul sehingga kini,” ujarnya

Tambah Ramli, jika benar pelan tersebut wujud, beliau akan
pantau pencapaiannya.

“Harapan saya, janganlah pendapatan Konvensyen Orang Asli Semenanjung April lalu di Putrajaya yang dirasmikan oleh Perdana Menteri tinggal dalam lipatan sejarah saja iaitu
’Jangan Janji Tinggal Janji’.

“Kita tidak mahu isu ini berpanjangan dan terus mengorbankan nyawa atau kesihatan Orang Asli selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette