Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang juga bekas ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan lima hari bermula 19 Ogos ini untuk mendengar perbicaraan kes bekas ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid yang menghadapi 14 tuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan lebih RM23,000.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Hakim Azman Ahmad selepas sebutan semula kes itu hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norzilati Izhani Zainal @ Zainol memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan beberapa dokumen antaranya penyata akaun kepada pihak pembelaan hari ini.

“Hari ini pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen kepada pembelaan namun pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan lain kerana pihak kami masih berusaha untuk mendapatkan beberapa cek daripada bank berkaitan kes ini,”katanya.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin, 56, mengesahkan pihak pembelaan telah menerima dokumen tersebut.

“Pihak kami memahami kesulitan yang dihadapi (pihak pendakwaan) untuk mendapatkan cek-cek tersebut. Jadi pihak pembelaan bersetuju dengan pihak pendakwaan untuk tarikh sebutan akan datang,” katanya dan mahkamah menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 13 Feb lepas, Noor Ehsanuddin yang juga bekas Anggota Parlimen Kota Tinggi didakwa atas 14 tuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah lebih RM23,000, pada 2014 dan 2015 daripada sebuah syarikat percetakan.

Bagi pertuduhan pertama sehingga ke-14, Noor Ehsanuddin, sebagai seorang penjawat awam iaitu Ahli Lembaga Pengarah Felda yang bertugas di Felda, didakwa telah menerima bayaran ansuran kenderaan keseluruhan berjumlah RM23,540.68 bagi kereta bernombor WQP 329 miliknya melalui cek daripada Karya Hidayah Sdn Bhd, yang beliau tahu ada hubungan dengan tugas rasminya.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Noor Ehsanuddin dituduh melakukan kesemua pertuduhan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Taman Maluri, Cheras, di sini antara 10 Feb 2014 dan 9 Nov 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast