Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru parti-parti politik di Kelantan bersikap adil dalam mencari kebenaran yang melibatkan kehilangan nyawa penduduk Orang Asli di Gua Musang.

Naib Pengerusi IKATAN Kelantan, Shahir Adnan berpendapat gesaan parti AMANAH yang mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk menyiasat punca kematian 13 Orang Asli merupakan satu kenyataan bersifat politik tanpa melihat fakta kejadian secara keseluruhannya.

“Banyak teori dilemparkan kepada masyarakat umum hingga menyebabkan sentimen dan persepsi negatif terpalit kepada Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahir yang juga Ketua Pemuda IKATAN berkata, antara teori mereka adalah dakwaan pencemaran sumber air, pencemaran akibat aktiviti pembalakan dan pencemaran akibat aktiviti
perlombongan.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan maklumat terkini, agensi kerajaan berkaitan mengesahkan tiada pencemaran sumber air melibatkan apa jua aktiviti yang didakwa.

“Berdasarkan pengetahuan kami, aktiviti perlombongan di Kelantan terhad kepada aktiviti perlombongan mineral yang
tidak merbahaya seperti emas, perak dan batu kawi (manganese).

“Mineral ini semua bukanlah jenis radioaktif atau merbahaya. Jelas menunjukkan Pemuda AMANAH bersikap opoturnis dalam kesusahan rakyat Kelantan,” katanya lagi.

Justeru, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada masyarakat Orang Asli yang dijangkiti pneumonia atau sakit berkaitan paru-paru.

Difahamkan, kebanyakan mereka juga dijangkiti measles akibat sakit pneumonia.

Keadaan ini bertambah parah apabila kebanyakan anak-anak orang asli tidak divaksin, katanya.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan terutama Hospital Kuala Krai dan Gua Musang yang bertindak pantas dan melakukan ujian makmal lain untuk
mengesahkan sakit yang dihidapi masyarakat Orang Asli berkenaan. – MalaysiaGazette