Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Orang awam terutama sekali pengguna jalan raya dan lebuh raya tidak akan dimaklumkan sama ada kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) beroperasi ataupun rosak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemasangan kamera AES bertujuan memberi amaran kepada pemandu yang tidak berhemah dan agresif di atas jalan.

“Bagaimana kamu tahu ia(AES) tidak berfungsi..Kami tidak akan memaklumkan kepada awam sama ada ia berfungsi atau tidak.

“Isu keselueuhannya ialah kamera AES diletakkan di sana untuk memberi amaran kepada pemandu dan sasaran kami untuk memastikan pemandu berhati hati dan memberi fokus lebih atas jalan. Ini kaedah psikologi kita.

“Apabila mereka lihat ada kamera AES, secara semulajadi mereka akan takut dan memperlahankan kenderaan dan itulah sasaran AES,” katanya dalam sidang di kementeriannya hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kamera AES bukan untuk menghukum pemandu semata-mata, sebaliknya mengingatkan mereka supaya  memperlahankan kenderaan, justeru tiada keperluan untuk memaklumkan sama ada kamera tersebut berfungsi atau sebaliknya.

“Jika saya maklumkan AES tidak berfungsi maka semua akan (selesa) memecut, tapi ingatlah jangan ambil kesempatan.

“Kalau media laporkan AES tak berfungsi dan sekiranya pemandu terima saman dia akan cari kamu (wartawan) sebab kamu yang maklumkan ia tak berfungsi.

“Jadi saya tidak akan komen ia berfungsi atau tidak, kami memahami sepenuhnya isu (AES) itu dan apa yang berlaku, kami nak orang perlahankan kenderaan di lokasi kamera AES,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette