Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Belum ada kelibat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan akan memberi keterangan kepada polis hari ini.

Azmin dikatakan akan memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung  gambar dan video luar tabii yang tular  bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Semalam, Azmin mengesahkan bahawa polis sudah menghubungi pegawainya untuk menetapkan masa beliau untuk hadir dan memberi keterangan dalam siasatan tersebut,

“Pejabat saya sudah dihubungi polis untuk memberi keterangan. Tetapi hari ini (Ahad) saya akan ke Pulau Pinang. Esok (Isnin) saya agak lapang atau bila-bila masa jika pihak berkuasa sedia,” katanya.

Bagaimanapun pemantauan MalaysiaGazette di pekarangan Bukit Aman sejak pukul 8 pagi lagi mendapati belum kelihatan kenderaan Timbalan Presiden PKR itu.

Ada maklumat menyatakan Azmin akan ke Bukit Aman menaiki kenderaan rasmi kementerian.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberitahu, pegawai penyiasat akan memanggil Azmin bagi membantu siasatan kes penyebaran rakaman video berkenaan.-MalaysiaGazette