MACAU – Dua pasukan yang bertanding dalam kejohanan Macau Cup semalam dilihat berpakat dengan lawan mereka denganĀ  membenarkan mereka menjaringkan gol berikutan bantahan terhadap keputusan Persatuan Bolasepak Macau (MFA) yang tidak menghantar pasukan ke Sri Lanka pada minggu lalu.

Malah para pemain bertepuk tangan apabila pasukan lawan menjaringkan gol.

Keputusan rasmi yang disahkan MFA ialah Ka I menewaskan Hang Sai dengan jaringan 21-18, lapor Macau Daily Times.

Berikutan kebimbangan tentang keselamatan di Sri Lanka, MFA mengambil keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan timbal balik kedua kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Pada perlawanan pertama Macau menewaskan Sri Lanka 1-0.

Berikutan keputusan MFA itu, beberapa pemain Macau mengancam tidak lagi mahu bermain dengan pasukan kebangsaan.

Mereka secara beramai-ramai menurunkan tandatangan yang menyatakan akan bertanggungjawab sepenuhnya dan mengambil risiko yang akan timbul daripada perjalanan ke Sri Lanka.

Bagaimanapun, MFA kekal dengan keputusannya dan terlepas tarikh perlawanan pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette