Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir hari ke-26 perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Saksi ke-39 Tan Sri Ismee Ismail ketika perbicaraan memasuki hari ke-26 tidak menolak kemungkinan  bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Suboh Md Yassin bersubahat dengan bekas CEO syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil.

Beliau berkata demikian sebagai bersetuju hujah peguam pembelaan bekas Perdana Menteri, bahawa kedua-dua individu penting dalam SRC itu mungkin bertindak demikian untuk menipunya berhubung perihal urus niaga Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dengan Putra Perdana Construction Sdn. Bhd.

Ismee juga bersetuju dengan kenyataan peguam Harvinderjit Singh bahawa lembaga pengarah tidak diberitahu berkenaan urus niaga Gandingan Mentari melabur sebanyak RM140 juta dengan Putra Perdana Construction, bagi pelaburan Putra Perdana di Afrika Selatan.

Ya (setuju Gandingan Mentari menyertai persetujuan dengan Putra Perdana Construction dengan berpura-pura menjadi pengurus pelaburan di Afrika Selatan, memberikan RM140 juta kepada Putra Perdana Construction, dan bahagi 70/30 dengan Gandingan Mentari. Ini tak diberitahu kepada lembaga pengarah.

Ya. (Nampaknya Suboh bersubahat dengan Nik Faisal),” katanya kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Ismee yang menjadi saksi selama enam hari untuk perbicaraan berkaitan SRC International ini turut bersetuju bahawa pinjaman RM2 bilion kedua daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadanankan (KWAP) dikeluarkan tanpa kelulusan lembaga pengarah pada bulan sama selepas dimasukkan ke akaun syarikat pada 28 Mac 2012.

Beliau juga senada dengan peguam bahawa ia merupakan penipuan yang serius.

“Ya (ketika peguam berkata wang masuk dan keluar, tiada pematuhan terhadap mandat syarikat),” tambahnya. -MalaysiaGazette