Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Tidak wujud keperluan untuk polis menyekat dokumen perjalanan pasport milik Haziq Abdullah Abdul Aziz, kata Datuk Mazlan Mansor hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, individu yang membuat akuan bersumpah di atas ranjang bersama individu mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan video yang tular itu.

Katanya, Haziq telah memberi keterangan dan proses siasatan ke atasnya selepas ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  pada Jumaat lalu ketika menunggu penerbangan ke Manila.

Haziq kemudian dibebaskan dengan jaminan polis oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas pada keesokan harinya sekitar 5.45 petang.

“Kami capai persetujuan..dia (Haziq) memberi kerjasama penuh kepada siasatan kes ini maka tidak ada alasan untuk menyekat pasportnya ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman antara pemangku jawatan itu Deputi Komisioner, Datuk Saiful Azly Kamaruddin kepada Datuk Zakaria Ahmad di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.

Sebelum itu, Haziq yang juga Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin ditahan untuk disiasat di bawah 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, Mohamed Azmin juga memberitahu beliau telah dihubungi polis untuk memberi keterangan dan beliau bersedia untuk dirakam keterangan.- MalaysiaGazette