Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Perkembangan industri aeroangkasa di Asia Tenggara meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik untuk merebut peluang daripada perkembangan tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, di Malaysia sendiri ketika sudah ada lebih 230 syarikat aeroangkasa dan angka tersebut dijangka akan terus bertambah.

“Ini akan menjadi pemangkin kepada sebuah ekosistem tempatan yang menarik dan permintaan dunia yang tinggi terhadap produk-produk atau perkhidmatan bermakna pertumbuhan syarikat tempatan boleh dipercepatkan.

“Ini pastinya akan memberi manfaat kepada komuniti tempatan menerusi pelbagai nilai ekonomi seperti peluang pekerjaan dan pembangunan rangkaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MITI menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berhasrat untuk meluaskan lagi penyertaan syarikat-syarikat tempatan dalam industri aeroangkasa dengan menyertai acara perdagangan aeroangkasa terbesar dunia, Persembahan Udara Antarabangsa Paris 2019 yang berlangsung di Le Bourget, Perancis bermula 17 sehingga 23 Jun ini.

Sejumlah 40 delegasi yang terdiri daripada 15 organisasi dan syarikat mengambil bahagian di dalam acara tersebut antaranya Composites Technology Research Malaysia (CTRM), UMW Aerospace, Jecmetal Industries, Sapura Aerospace Technologies dan Curge Advance.

Matrade akan menguruskan sesi padanan perniagaan serta sesi rangkaian kerja di antara syarikat-syarikat berkenaan dengan pemain-pemain industri.- MalaysiaGazette