Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Usahlah memasang impian terlalu tinggi melihat pemain sedia ada setaraf legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, dan Malaysia kembali menjadi antara kuasa besar dunia, dapat dikecapi dalam tempoh terdekat.

Ini kerana barisan pemain muda negara hari ini dilihat belum lagi mewarisi semangat, keyakinan dan kesungguhan bekas pemain nombor satu dunia itu, selain tidak mempunyai ‘keinginan luar biasa’ seperti dimiliki Chong Wei yang menjadi antara senjata rahsia kejayaan beliau selama ini.

Perit untuk ditelan, namun ia turut diakui ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek yang tanpa berselindung mengakui Malaysia perlu menunggu 10 hingga 15 tahun untuk mempunyai pemain setanding Chong Wei.

Penganalisis sukan badminton dan juga antara ‘sifu’ Chong Wei di luar gelanggang, Norbakti Alias berpandangan pemain sedia ada kini lebih bergantung kepada nasib semata-mata dalam meraih kejayaan memandangkan mereka tidak mempunyai matlamat serta kekuatan dalaman seperti dimiliki Chong Wei.

“Mereka (pemain muda) tidak mustahil boleh jadi macam Chong Wei tapi ia perlu datang daripada diri sendiri. Jurulatih akan bagi benda (ilmu) yang sama kepada semua tetapi macam mana pemain nak gunakan kesempatan itu untuk buktikan kemampuan mereka sahaja yang jadi perbezaan.

“Pemain kena ada sasaran. Mereka hari ini hanya ikut program latihan tetapi Chong Wei dulu tidak. Bila sedar ada kelemahan, beliau akan luangkan lebih masa untuk berlatih memperbaiki kelemahan itu. Barisan pemain sedia ada sekarang bergantung kepada nasib sahaja,” katanya kepada Bernama.

Norbakti berkata barisan pemain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini masih tidak mempunyai matlamat, dan kebanyakan pemain itu berada di BAM disebabkan keinginan ibu bapa melihat kejayaan mereka.

Faktor kemewahan yang ada pada kebanyakan pemain muda hari ini, turut dianggap sebagai ‘penghalang’, menurut Norbakti yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam arena sukan badminton negara sejak bermula sebagai seorang wartawan sukan.

“Saya tak nampak lagi seorang pemain muda yang ada ciri-ciri macam Chong Wei. Kadang-kadang yang ada dekat situ (BAM) pasal ibu bapa yang nak tengok mereka berjaya, bukannya kerana kehendak mereka.

“Mereka ini berlatar belakangkan keluarga yang mewah jadi jika gagal dalam badminton tidak ada yang perlu dirisaukan. Kehidupan Chong Wei dulu lain…perbezaan itu memberi kesan,” tambah beliau.

Justeru, Norbakti berkata barisan pemain muda negara perlu memiliki ‘semangat luar biasa’ kerana Kementerian Belia dan Sukan serta BAM telah menyediakan satu venue latihan berprestasi tinggi yang lengkap di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bagi beliau, dengan fasiliti bertaraf dunia di samping memiliki antara barisan jurulatih terbaik di ABM, tiada alasan untuk seseorang pemain itu gagal mencapai tahap terbaik dalam karier masing-masing sekiranya mereka mempunyai matlamat dan kehendak yang tinggi.

“Situasi badminton negara ini ibarat di sekolah dengan cikgu mengajar dan bahan disediakan adalah sama tetapi ada pelajar yang bijak dan kurang bijak…yang bijak ini apa mereka buat sehingga jadi bijak.

“Chong Wei satu ketika hampir dibuang dan bila Misbun menyertai BAM beliau terus ‘tangkap’ Chong Wei untuk berlatih di bawahnya. Chong Wei tahu apa dia nak dan ada kesungguhan untuk capai apa dia nak. Ia juga menunjukkan norma seseorang yang ingin belajar kerana ilmu ini kita kena minta,” tegasnya.

Bercakap mengenai keperibadian ikon sukan negara itu, Norbakti menyifatkan pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu mempunyai dedikasi yang tinggi dalam menjadi seorang pemain cemerlang selain memiliki mentaliti juara setanding ramai jaguh sukan dunia antaranya bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo.

Pada masa sama, beliau berpendapat pemain perseorangan lelaki muda negara, Lee Zii Jia, 21, yang menghuni ranking ke-20 dunia ketika ini memiliki pakej fizikal lengkap dan berada di landasan tepat menjadi antara pemain terbaik dunia.

Beliau berkata beberapa nama sebelum ini juga pernah dikaitkan sebagai pengganti Chong Wei seperti Liew Darren dan Chong Wei Feng yang masing-masing satu ketika pernah menduduki ranking ke-10 dan ke-12 dunia.

“Dia (Zee Jia) kalau tengok tahap fizikal dan ketinggian dimiliki memang cukup lengkap untuk jadi pemain hebat. Bukan beliau sahaja sebelum ini, kita pernah ada Daren dan Wei Feng yang berpotensi tetapi gagal. Segalanya terpulang kepada pemain,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, dipetik sebagai berkata tempoh 10 hingga 15 tahun terlalu lama untuk melahirkan pemain setanding Chong Wei dan ia mampu dipendekkan kepada lima tahun.

“Sekarang semua kita sudah ada, kemudahan kelas pertama sudah ada. Apa yang kita nak adalah mentaliti kelas pertama, disiplin kelas pertama dan pendekatan untuk menjadi pemain kelas pertama.

“Perkara-perkara ini saya rasa semua atlet dan jurulatih tahu malah saya yakin dari 15 tahun itu kita boleh percepatkan lagi hingga ke lima tahun. Buat masa ini mari kita usahakan untuk ke lima tahun berbanding 10 hingga 15 tahun,” katanya baru-baru ini.

Pada Khamis lepas, Chong Wei dengan berat hati mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun mencurah bakti mengharumkan nama Malaysia dengan meraih 69 gelaran, termasuk 47 gelaran juara Siri Super.

Beliau turut melakar sejarah tersendiri apabila memegang gelaran sebagai pemain nombor satu dunia sebanyak 348 minggu dari 2008 sehingga 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast