KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd (Bursa) yakin pasaran ekuiti Malaysia akan kekal berdaya tahan walaupun pasaran sedang pesat membangun terus mengharungi tempoh mencabar susulan kebimbangan mengenai ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi global.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak itu berkata akan terus komited terhadap usaha bagi memastikan pasaran modal terus berkembang dan menyokong keperluan ekonomi Malaysia.
SC dan Bursa juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif sejak beberapa tahun lepas bagi meningkatkan daya saing pasaran modal Malaysia.
“Walaupun beberapa pendekatan pasaran berdepan cabaran akibat ketidaktentuan global itu, SC dan Bursa akan terus bekerjasama dengan pihak industri bagi mengenal pasti peluang perniagaan dan kawasan pertumbuhan baharu selain mewujudkan ekosistem serba cekap untuk meningkatkan tarikan pasaran,” katanya.
Pasaran Malaysia yang didorong oleh persekitaran makroekonomi yang stabil, juga terus menjadi saluran mobilisasi dan penggunaan dana jangka panjang bagi tujuan pembangunan.
Secara purata sejumlah RM16 bilion dapat dikumpul setiap tahun menerusi pasaran ekuiti sejak lima tahun lepas manakala permodalan pasaran ekuiti telah meningkat kepada RM1.7 trilion setakat akhir April 2019, kata pengawalselia itu.
“Pertumbuhan aset industri di bawah pengurusan dana Malaysia yang sihat dan kini berjumlah RM786 bilion, telah membawa kepada penjimatan ketara serta pengembangan segmen pasaran lain.
“Lebih 900 perusahaan kecil dan sederhana turut mendapat faedah pembiayaan ekuiti dan rakan setara dengan syarikat-syarikat tersebut serta dapat mengumpul hampir RM350 juta dalam tempoh tiga tahun lepas bagi tujuan pengembangan perniagaan mereka.”
Merujuk perantara pasaran modal berlesen, aspek pematuhan mereka terhadap keperluan peraturan kewangan kekal kukuh berikutan sebahagian besar turut memiliki modal mencukupi dengan kedudukan mudah tunai wajar manakala dedahan margin pelanggan juga terurus dengan baik, kata SC dan Bursa.
Usaha penggalakan tadbir urus baik serta memastikan hasil yang saksama untuk pelabur, juga menjadi teras keutamaan peraturan SC dan Bursa dengan pihak perantara dijangka mempraktikkan aspek profesionalisme dan etika tinggi ketika berurusan dengan pelabur.
Sejak sedekad lepas, kedua-dua pihak pengawalselia itu telah melaksanakan pelbagai elemen bagi menerapkan disiplin pasaran lebih cemerlang secara cekap dan berkesan.
Dalam usaha membolehkan pasaran model Malaysia kekal menarik dan terus bersaing di peringkat serantau, para pelabur perlu memastikan aspek termasuk pasaran beroperasi secara adil dan teratur, memiliki penyata kewangan syarikat yang wajar dan pihak perantara turut dilengkapi sistem dalaman dan tadbir urus baik serta sentiasa bertindak demi kepentingan para pelanggan.
Atas alasan itu, semakan yang dijalankan oleh pengawalselia terbabit telah menunjukkan bahawa pihak perantara dapat meningkatkan pelaburan dalam tenaga kerja dan sistem demi meningkatkan budaya pematuhan dan disiplin sendiri ketika mengendalikan perniagaan dan risiko pengawalseliaan.
Majoriti pihak broker, kata mereka, turut melaksanakan sistem pemantauan perdagangan yang membolehkan mereka mengesan sebarang transaksi meragukan seawal mungkin, sekali gus meningkatkan pelaporan sendiri dan bekerjasama dengan pihak pengawal selia dalam mengesan sebarang pencerobohan.
Sejajar pengukuhan disiplin pasaran, SC dan Bursa juga akan mengurangkan aspek keamatan disiplin pengawalseliaan.
Bagi kemajuan masa depan pula, pihak pengawal selia itu berkata mereka akan melaksanakan pendekatan pemantauan yang mudah dan dinamik, seiring dengan kematangan pasaran dan tahap disiplin pasaran yang dicapai dengan mengutamakan pasaran dan disiplin diri apabila disiplin pengawalseliaan diliberalisasikan.
Usaha mendapatkan aspek amalan terbaik industri akan dipacu oleh pendedahan, pelaporan diri selain melibatkan perantara, kata mereka.
Pada masa sama, walaupun SC dan Bursa akan terus memberi panduan kepada perantara untuk memperkukuh proses tadbir urus dan pihak terbabit juga perlu berusaha lebih gigih bagi memantapkan pasaran dengan meningkatkan jumlah pelanggan, kecekapan dan pengalaman pelabur apabila menjalankan dagangan di pasaran atau menggunakan produk serta perkhidmatan pasaran modal.
SC dan Bursa turut memberi jaminan untuk terus melibatkan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan idea serta maklum balas mengenai langkah-langkah yang dapat mendorong serta menyokong pasaran modal yang mesra serta mantap. – MalaysiaGazette