KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat Perdana Menteri.

Dalam satu posting di Facebook, Anwar berkata, kedua-dua mereka membincangkan mengenai isu penukaran Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang menarik perhatian ramai.

Beliau bersetuju bahawa isu penukaran TPM tidak perlu dibuat buat masa ini.

“Mengadakan pertemuan singkat bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya sebelum beliau berlepas ke Bangkok.

“Dalam pertemuan itu saya menyatakan persetujuan terhadap pendirian beliau untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara dan tidak memerlukan pertukaran Timbalan Perdana Menteri dan kabinet,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara lain, kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu turut mengadakan perbincangan empat mata mengenai isu penularan video lucah mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami berdua turut membincangkan isu video lucah di mana saya mengulangi pendirian bahawa PKR menolak budaya politik jijik dan keji serta turut melahirkan rasa simpati terhadap Azmin dan keluarganya.

“Saya menegaskan, wujudnya unsur politik terkait isu ini, maka adalah tidak wajar untuk memfitnah sesiapa yang menyebarkannya tanpa asas,” katanya hari ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast